MUFC hampir ‘ratah’ juara 33 kali Piala Malaysia di Jebat

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) mendapat kemenangan moral sebelum saingan Liga Super bersambung apabila menundukkan Selangor FC 3-2 dalam aksi persahabatan, di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Skuad Hang Tuah membuka tirai jaringan pada minit ke-9 menerusi Sony Norde, sebelum penyerang import baharu, Giovane Gomes da Silva meledak dua lagi gol pada minit ke-16 dan 25.

Selangor FC yang juga juara 33 kali Piala Malaysia bagaimanapun berjaya merapatkan jurang di separuh masa kedua apabila dihadiahkan dua sepakan penalti pada minit ke-63 dan 87 yang disempurnakan Ifedayo Olesegun dan Nik Shariff.

Bagi Ketua Jurulatih MUFC, Zainal Abidin Hassan kemenangan itu nyata melegakan terutamanya dalam separuh masa pertama perlawanan yang memperlihatkan persefahaman yang sangat baik oleh kesebelasan utama.

Katanya, barisan serangan juga membuktikan ketajaman apabila menyempurnakan peluang terhidang dan memperoleh tiga gol dalam tempoh singkat.

“Perlawanan persahabatan ini adalah persiapan terakhir kita untuk mempersiapkan pasukan dan alhamdulillah saya melihat kesebelasan utama bermain dengan cukup teratur dan tidak mensia-siakan peluang malam ini.

“Saya amat berharap ia akan berterusan dalam perlawanan sebenar nanti dan tempoh masa yang ada selepas ini akan kita gunakan sebaiknya untuk mencari dan memperbaiki segala kelemahan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Liga Super akan bersambung semula 24 Julai ini selepas berehat dua bulan bagi memberi laluan kepada kalender perlawanan antarabangsa.

MUFC dijadual berkunjung ke Stadium Darul Makmur pada 25 Julai bagi berdepan Sri Pahang FC untuk aksi ke-14 liga musim ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

737
Kongsi :
Previous post Lebih 14 juta dos vaksin COVID-19 diberikan sehingga semalam
Next post 150 penduduk Perkampungan Portugis dipakaikan ‘gelang pink’
Ubah saiz-+=