Remaja oku, kembar teruja terima vaksin

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

LENDU 29 Sept. – Pelajar orang kurang upaya (OKU) dan kembar lelaki seiras antara 700 remaja menerima suntikan vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UiTM Lendu.

Pelajar berkeperluan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan, Alor Gajah, Nur Quwaidir Iman Mohd Azmi, 13, berkata, dia sangat teruja apabila mengetahui gilirannya pada hari ini menerima vaksin setelah menunggu agak lama.

Nur Quwaidir Iman yang mengidap sindrom down Prader Willi iaitu penyakit pembesaran tidak terkawal berkata, dia sudah bersiap sejak 6 pagi untuk ke PPV bersama ibu, Zaizah Zainal, 43 tahun.

NUR QUWAIDIR IMAN mengambil kesempatan bergambar selepas selesai mengambil vaksin dos pertama di PPV UiTM Lendu.

Menurut Zainah, anak kelima daripada enam beradik itu tidak sabar untuk mengambil vaksin dos pertamanya pada hari ini memandangkan dua kakaknya yang berusia 18 dan 20 tahun sudah lengkap vaksin.

“Hari-hari Iman bertanya kepada saya bila gilirannya untuk divaksin dan sangat teruja apabila dimaklumkan oleh pihak sekolah kelmarin untuk ke PPV UiTM Lendu hari ini.

“Alhamdulilah, walaupun dia remaja OKU, Iman sangat positif dan bersedia mengambil vaksin dos pertamanya hari ini, malah gembira dapat bertemu rakan sekolah,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

Zaizah yang juga ibu tunggal dari Taman Inang Sari, Durian Tunggal berkata, Iman menghidap penyakit sindron down sejak bayi dan doktor yang merawatnya memberitahu penyakit itu sangat jarang menjangkiti penduduk di negara ini.

Kesan sindrom itu katanya, akan menyebabkan Iman gagal mengawal pemakanannya atau tidak merasa kenyang hingga menyebabkannya mengalami pembesaran luar biasa.

“Iman juga mengalami masalah pembelajaran dan perlu bimbingan untuk membaca dan menulis di sekolah,” katanya.

JULIA bersama anak kembarnya, Muhammad Amar Arshad dan Muhammad Amir Asyraf menunjukkan isyarat bagus selepas selesai menerima vaksin dos pertama di PPV UiTM Lendu.

Sementara itu, pasangan kembar lelaki, Muhammad Amar Arshad Ismail dan Muhammad Amir Asyraf, 15, berkata, kunjungan mereka ke PPV UiTM Lendu dianggap istimewa kerana buat pertama kalinya mereka menerima vaksin.

Muhammad Amar berkata, dia tidak berasa takut ketika menunggu giliran divaksin kerana yakin pengambilannya penting demi melawan virus COVID-19.

Selain itu, ibu mereka, Julia Johan, 47, berkata anak kembarnya itu bersiap mengenakan pakaian sukan sekolah dan bersarapan sejak awal pagi sebelum ke PPV.

“Saya pada awalnya agak bimbang dengan respon mereka sebelum menerima vaksin, namun alhamdulilah, kedua-duanya kelihatan bersemangat dan bersedia.

“Sejak sampai sehingga selesai disuntik mereka sangat tenang, mungkin ada berjumpa rakan sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post Pelajar tahfiz bersyukur terima vaksin
Next post Pegawai Syariah perlu hayati semangat ‘Keluarga Malaysia’ –  Ismail Sabri
Ubah saiz-+=