Restoran terapung tawar pakej perkahwinan moden dan tradisional

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LINGGI 19 Disember – Kompleks Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru bakal dijadikan sebagai lokasi yang menawarkan pakej perkahwinan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah berkata, kerja-kerja menaik taraf bangunan kawasan itu sedang giat dibangunkan sekali gus mampu menjadi salah satu lokasi tumpuan majlis itu yang bertemakan perkahwinan pantai.

Katanya, setakat ini kawasan itu hampir 85 peratus disiapkan dan ia bakal menawarkan pakej berunsurkan moden dan tradisional.

“Setakat ini Kerajaan Negeri sedang menumpukan pembangunan di kawasan berkenaan malah kita sedang menaik taraf muara sungai di kawasan itu untuk dijadikan sebagai salah sebuah produk tarikan pelancongan di Kuala Sungai Baru.

“Selain menikmati perkhidmatan subsektor pelancongan makanan, penganjuran perkahwinan di lokasi berkenaan akan menarik lebih ramai pengunjung mahupun pelancong ke kawasan Kuala Linggi.

“Kerja-kerja (pembangunan) giat dibangunkan dan kita jangkakan bangunan itu boleh beroperasi menjelang Januari atau Februari tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Gotong Royong Madani 2023 dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Khas Pejabat Perdana Menteri, Muhammad Fikri Abdul Aziz; Pegawai Daerah Alor Gajah, Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Tpr. Saifuddin Abdul Karim.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata, Medan Ikan Bakar Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) Kuala Sungai Baru yang terletak bersebelahan dengan lokasi itu turut menerima tempias daripada impak pembangunan pelancongan di kawasan berkenaan.

Jelasnya, bagi memastikan kawasan itu terus didatangi pelancong restoran berkenaan turut dinaik taraf dan dijadikan sebagai lokasi perkemahan dan glamping.

“Hasrat ini akan dilaksanakan supaya restoran ini ada tarikan baharu dalam sektor pelancongan negeri.

“Kita lihat ada beberapa tapak yang sesuai untuk dibangunkan bagi produk pelancongan ini dan ini antara produk terbaharu yang akan dibangunkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2064
Kongsi :
Previous post Perluaskan penubuhan PAWE, kurangkan bergantung pada pusat kebajikan
Next post Pulau Besar pusat pelancongan patuh syariah
Ubah saiz-+=