Rezeki tawan Ophir, ‘rider’ diumum juara keseluruhan kategori 50KM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ASAHAN 17 September – “Tipulah kalau kata tidak mahu menang, tetapi saya langsung tidak letakkan sasaran sebagai johan.

“Niat awal ambil bahagian hanya untuk suka-suka, tetapi lebih daripada itu yang saya capai apabila berjaya menamatkan larian di kedudukan pertama,” itu kata Mohamad Amierul Amin Shamsul Kamal, 28.

Mohamad Amierul Amin dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan bagi kategori 50 kilometer larian lasak, Mount Ophir Ultra Trail (MOUT) Melaka 2023 dengan masa direkodkan selama tujuh jam 41 minit.

Pemuda dari Setia Alam, Selangor itu berkata, trek larian lasak bermula dari Sagil, Johor kemudian perlu melalui Gunung Ledang seterusnya ke Asahan.

“Bagi saya laluan untuk pertandingan ini tidaklah terlalu ‘extreme’ seperti beberapa laluan pada penganjuran yang pernah disertai sebelum ini.

“Tetapi sepanjang pertandingan ini laluan paling mencabar adalah di sebelah Sagil berbanding Asahan dan Gunung Ledang kerana terdapat banyak akar dan juga tangga,” katanya.

Dia ditemui selepas Perasmian dan Penyampaian Hadiah Mount Ophir Ultra Trail (MOUT) Melaka 2023 di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan, di sini, hari ini.

Terdahulu perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan dan hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Datuk Zaidi Attan.

Menurut penghantar makanan itu, walaupun sebelum ini dia pernah menyertai acara sama bagi kategori 160 kilometer namun pertandingan ini turut menguji ketahanan mental dan fizikal kerana setiap lokasi mempunyai laluan atau bentuk muka bumi berbeza.

“Acara larian denai ini sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikal kerana setiap langkah peserta amat mencabar namun Alhamdulillah semuanya berjalan lancar selain peserta juga dapat menamatkan larian” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3186
Kongsi :
Previous post 10 kampung bergotong-royong jayakan kenduri rakyat
Next post Jalur Gemilang gergasi terbang megah di langit Melaka
Ubah saiz-+=