Sorting by

×

Jalur Gemilang gergasi terbang megah di langit Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KESIDANG 18 September – Pengunjung Festival Layang-Layang Gergasi Melaka 2023 di Limbongan, di sini, terpegun menyaksikan layang-layang Jalur Gemilang gergasi yang menyerikan langit Melaka.

Pengerusi Pengelola Festival Layang-Layang Gergasi Melaka 2023 Chiu Chee Ming, 50, berkata, layang-layang merupakan yang terbesar di negara ini dengan berukuran 6 meter x 10 meter dan menjadi antara keunikan yang dibawa pada festival selama dua hari itu yang berakhir semalam.

Menurutnya, layang-layang itu dibawakan khas oleh Pasukan Impian yang juga anak jati Negeri Melaka bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.

“Layang-layang ini dibuat pada tahun 2017 dan ia hanya akan dinaikkan pada hari-hari istimewa seperti pada festival ini yang jatuh pada sambutan Hari Malaysia.

“Bendera ini amat jarang dikeluarkan kerana saiznya yang besar dan ia memerlukan kepakaran khusus untuk menaikkannya.

“Tetapi sempena festival ini kita bawakan dan lebih istimewa, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut berbesar hati menyempurnakan gimik menaikkan bendera Malaysia gergasi ini,” katanya kepada pemberita.

Jelas Chee Ming, objektif penganjuran festival berkenaan bukan sahaja bertujuan menarik kehadiran pelancong, bahkan mahu mengangkat sukan rakyat itu kepada segenap lapisan masyarakat, khususnya rakyat Melaka.

“Ini kerana layang-layang bukan sukan individu, tetapi kita melihatnya sebagai sukan keluarga kerana rata-rata pengunjung yang datang pada festival ini adalah terdiri daripada satu keluarga iaitu ibu bapa dan anak-anak.

“Jadi, kita mahu mempromosikan sukan sihat ini supaya generasi muda masa kini agar tidak hanya cenderung kepada gajet yang lebih melalaikan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Chee Ming berkata, pihaknya akan memastikan penganjuran festival pada tahun hadapan lebih menarik dengan pelbagai jenis layang-layang sama ada moden atau tradisional akan ditampilkan.

Malah, pihaknya juga akan menjemput negara yang terkenal dengan layang-layang gergasi seperti China, Indonesia, Thailand, India dan Taiwan untuk terlibat sama mempamerkan rekaan layang-layang masing-masing.

“Boleh dikatakan festival tahun ini sebagai pemanas badan untuk penganjuran lebih besar pada tahun hadapan.

“Segala kekurangan yang kita kesan sepanjang festival ini akan kita tambah baik supaya ia dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung dalam menjayakan hasrat Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran 15 juta hingga 18.7 juta pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1089
Kongsi :
Previous post Rezeki tawan Ophir, ‘rider’ diumum juara keseluruhan kategori 50KM
Next post JBS mahu pastikan orang Melaka sihat, aktif dan cergas
Ubah saiz-+=