RIMPAC 2022: KD Lekir mulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

IPOH, 30 Mei – Kapal Diraja (KD) Lekir hari ini memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) bagi mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyertai Eksesais Rim of The Pacific (RIMPAC) 2022 yang akan dilaksanakan di Kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat.

Majlis Pelepasan Tali KD Lekir disempurnakan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis di Jeti Operasi, TPL, pagi tadi.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam kenyataan hari ini memaklumkan KD Lekir dijadual tiba semula ke TPL pada 6 Sept depan setelah selesai menjalani eksesais multilateral maritim terbesar dunia anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) yang akan berlangsung pada 29 Jun hingga 4 Ogos ini.

“Tempoh keseluruhan pelayaran sepanjang penyertaan eksesais akan mengambil masa selama 99 hari di laut. Penyertaan KD Lekir diketuai Pegawai Memerintah Kdr Mohd Asri Dasman pada eksesais kali ini adalah merupakan penglibatan kali kedua buat TLDM setelah kejayaan penyertaan kali pertama pada 2018 menerusi KD Lekiu dari Skuadron Frigat Ke-23.

“Penyertaan TLDM bagi siri eksesais pada kali ini membuktikan ketersediaan dan komitmen TLDM ke arah memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa selain meningkatkan kebolehoperasian aset pertahanan maritim negara serta profesionalisme warga ke tahap yang tertinggi seiring angkatan tentera laut di peringkat global,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, RIMPAC 2022 akan memperlihatkan penyertaan angkatan tentera laut dari 28 negara dengan penglibatan 41 kapal permukaan, lima kapal selam, 150 pesawat udara dan hampir 25,000 peserta eksesais.

Objektif eksesais pada kali ini menggariskan tumpuan kepada kepentingan meningkatkan kebolehoperasian gabungan pasukan RIMPAC merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan bertemakan ‘Capable, Adaptives, Partners’.

Menurut kenyataan itu, buat julung kalinya TLDM menerusi KD Lekir diberi penghormatan untuk melaksanakan penembakan misil EXOCET MM40 semasa eksesais.

“Penghormatan ini merupakan detik bersejarah buat TLDM kerana buat pertama kalinya kapal TLDM akan melaksanakan latihan penembakan misil di luar perairan Malaysia,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1763
Kongsi :
Previous post Filem dokumentari beri pendedahan, siapa Panglima Awang
Next post Vaksin COVID-19: Mahkamah tolak permohonan 10 individu berhubung award semakan
Ubah saiz-+=