Rina tekad mudahkan lagi permohonan bantuan JKM
KUALA LUMPUR 2 Sept – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun bertekad memudahkan lagi urusan permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan sasar dalam tempoh 100 hari.
Beliau berkata langkah itu perlu memandangkan terdapatnya peningkatan mendadak antara 20 hingga 30 peratus permohonan bantuan yang diterima JKM selepas pandemik COVID-19 melanda negara.
“Permohonan yang diterima ini adalah genuine case (pemohon yang benar-benar memerlukan bantuan) dan ia menunjukkan ramai yang terjejas,” katanya.
Atas dasar itu, Rina berkata beberapa bentuk bantuan perlu disegerakan seperti pemberian bimbingan dan latihan perniagaan kepada golongan wanita memerlukan, supaya mereka dapat meningkatkan kualiti kehidupan sedia ada.
“Di samping itu, kita perlu bekerjasama dengan kementerian lain dan syarikat korporat untuk membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas.
“Kita sudah mulakan hari ini dengan pihak (syarikat) Mydin untuk tujuan itu…harap akan lebih banyak lagi kolaborasi nanti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan barangan keperluan asas, wang tunai dan tablet pembelajaran kepada keluarga mangsa samun, Siti Nur Azizah Syafriadi, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, di sini hari ini.
Ditanya tentang kesihatan mental gadis berusia 17 tahun itu, Rina berkata pihaknya akan memberi kaunseling secara berkala kepada remaja berkenaan untuk membantunya bangkit semula dalam kehidupan selepas kehilangan sebelah tangan akibat insiden samun itu.
“Dalam masa sama, pihak Mydin sudah bersetuju untuk mengambil adik ini bekerja dan menawarkan bakul makanan kepada keluarganya sebanyak RM200 setiap bulan selama enam bulan.
“Ibunya (Roslinawati Ya) juga kita (kementerian) bersedia beri bimbingan dan latihan perniagaan sekiranya dia berniat untuk meneruskan perniagaan dalam talian sedia ada, namun ketika ini biarlah keadaannya (emosi) stabil dulu,“ kata Rina yang berharap pihak polis dapat menyegerakan siasatan kes itu.
Dalam kejadian Khamis lepas itu, ketika dalam perjalanan menghantar barang kepada pelanggan dengan menaiki motosikal, Siti Nur Azizah telah disamun tiga lelaki yang menyebabkan beliau cedera dan sebelah tangannya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman.
Sementara itu, Roslinawati, 38, berkata beliau amat berbesar hati atas keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib yang menimpa anak sulungnya itu dan berharap Siti Nur Azizah akan tabah meneruskan kehidupannya selepas ini.
“Semalam, berkat doa semua, dia (Siti Nur Azizah) sudah sedar dan memberitahu saya bahawa dia sudah terima hakikat kehilangan tangannya. Dia reda dan menerima takdir yang ada. Saya harap agar saya terus diberi kekuatan dan sokongan untuk membantu dia berdiri semula dalam kehidupan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.