RM1.83 juta naik taraf jeti nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

TELOK MAS, 5 Dis – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan lebih RM1.83 juta bagi menaik taraf infrastruktur 13 jeti pendaratan ikan di negeri ini.

Antara lokasi yang menjadi jeti pendaratan ikan termasuk Jeti Pernu, Jeti Tanjung Nibong dan Jeti Jeti Padang Temu dan Jeti Bukit Punggor.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan yang disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu diperolehi menerusi Projek Rangsangan Ekonomi (PRE) dan peruntukkan tambahan menerusi Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, daripada jumlah itu, RM650,000 diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf enam projek manakala selebihnya adalah bajet tambahan bagi pembaikan tujuh projek jeti nelayan.

Jelasnya, peruntukan itu turut melibatkan pembinaan jeti sebanyak RM300,000 yang sebelum ini dibuat sendiri oleh nelayan bagi menggantikan jeti konkrit.

Jelasnya, bagi pembinaan pos pengawal di Jeti Tanjung Nibong, sebanyak RM16,000 lagi disalurkan untuk pembinaan pos pengawal untuk tujuan keselamatan bot dan enjin yang disimpan di jeti tersebut.

“Menerusi LKIM, sebanyak RM300,000 disalurkan bagi pembinaan Jeti Tanjung Nibong yang dibuat sendiri oleh nelayan, supaya ia digantikan dengan jeti konkrit.

“Sebenarnya untuk bajet tahun 2021, kementerian telah memberikan peruntukan yang cukup membanggakan kerana kita membuktikan keprihatinan kerajaan bukan sahaja memberi bantuan kepada golongan sasar bahkan untuk membuat perancangan strategik bagi memastikan perancangan itu benar-benar sampai kepada kumpulan yang patut kita berikan pembelaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Sembang Santai Nelayan bersamanya di Medan Selera Deli Muara Ikan Bakar, Jeti Tanjung Nibong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata kementeriannya dalam usaha untuk melakukan proses pemutihan terhadap permohonan nelayan bagi mendapatkan lesen.

“Perkara atau rungutan yang dibangkitkan itu menjadi isu hangat antara mereka berhubung mereka yang belim berdaftar walaupun sekian lama menjadi nelayan.

“Itu adalah menjadi polisi kementerian setelah kita membuat pemutihan, pertamanya bagi mereka yang telah meninggal dunia atau sakit, jadi kita akan masukkan nama mereka yang memohon selepas temuduga dijalankan oleh Jabatan Perikanan.

“Yang keduanya disebabkan faktor umur dan ketiga mereka yang tidak mempunyai apa-apa pendapatan, jadi maknanya kita beri keutamaan kepada golongan itu,” katanya.

Views:

402
Kongsi :
Previous post Sambutan Maulidur Rasul dalam norma baharu
Next post Rentas daerah dan negeri dibenarkan mulai Isnin ini
Ubah saiz-+=