RM2.33 juta diperlukan baik pulih cerun runtuh

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

RIM 16 November – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menutup sementara kawasan cerun runtuh di kolam takungan banjir Taman Lipat Kajang Perdana, di sini, bagi mengelakkan sebarang ancaman yang boleh membahayakan penduduk dan orang ramai.

MPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, kawasan berkenaan ditutup sementara sehingga peruntukan berjumlah lebih RM2 juta diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan.

Kata kenyataan itu, MPJ bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Jasin telah mengadakan siasatan di tapak runtuhan cerun terbabit dan susulan itu pihaknya memohon tiga peruntukan iaitu pada 20 Julai 2022, 7 Oktober 2022 dan 3 Mac lalu.

“Ketiga-tiga permohonan tersebut dilampirkan bersama laporan awal pemeriksaan cerun di Pusat Koreksional Jasin yang disediakan oleh JKR Cawangan Kejuruteraan Cerun bertarikh 5 Oktober 2022 dengan nilai pembaikan yang besar berjumlah RM2.33 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

“MPJ bersama JKR serta beberapa agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memanjangkan permohonan bagi kerja pembaikan namun masih belum menerima sebarang kelulusan,” jelas kenyataan itu.

Mengulas lanjut, MPJ menjelaskan, isu runtuhan tanah itu dikesan berlaku sekitar Julai 2022 yang berpunca daripada sistem aliran air hujan dan air larian permukaan yang lemah sekali gus mengakibatkan kehilangan kekuatan pada struktur tanah dan daya kelekitan kawasan tersebut.

Sebagai tindakan sementara, JKR telah menambak ruang kosong dengan tanah sebelum pembaikan cerun dapat dilaksanakan.

“Bagaimanapun, kawasan tersebut kembali bercerun apabila hujan berterusan dan larian air bawah tanah yang mengakibatkan pergerakan tanah semakin kerap.

“MPJ sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk dan memastikan Jasin berada dalam keadaan harmoni dan selamat daripada ancaman bencana,” jelas kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1547
Kongsi :
Previous post Penjawat awam perlu beri komitmen jitu jayakan TMM2024, WTD2025 – SUK Melaka
Next post Bukit jadi saksi keagungan Melaka
Ubah saiz-+=