RM223 juta ubah wajah pantai Tanjung Bidara-Telok Gong

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MASJID TANAH 29 Jun – Kos sebanyak RM223 juta dicadangkan bagi mengubah wajah pantai peranginan dari Tanjung Bidara ke Telok Gong sepanjang lapan kilometer, di sini bermula 2021 hingga 2035.

Pembangunan membabitkan pelaburan oleh kerajaan dan swasta itu bertujuan meningkatkan industri pelancongan, selain kualiti hidup anggota masyarakat.

Ia terkandung dalam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanjung Bidara–Pengkalan Balak, iaitu Pelan Tindakan Pembangunan Kawasan Tanjung Bidara–Pengkalan Balak dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Penolong Pengarah Pejabat Projek Zon Selatan PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Hafiz Ahmad berkata, bagi mencapai matlamat berkenaan, jabatan itu mencadangkan pantai dari Tanjung Bidara hingga Telok Gong ditambak bagi memulihkan pantai yang mengalami hakisan serius.

“Pantai Tanjung Bidara harus ditambak seluas 60 meter manakala pantai Balik Batu (72 meter), Kampung Mesra Penyu (72 meter), Padang Kemunting (75 meter) dan Telok Gong (60 meter).

“Kami mencadangkan pembinaan Bandar Pelancongan Pengkalan Balak yang mengandungi kedai, pasar pelancong, terminal pengangkutan awam dan medan selera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat publisiti dan penyertaan awam draf berkenaan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting, dekat sini hari ini.

Turut memberikan taklimat ialah Penolong Pengarah PLANMalaysia Cawangan Melaka, Zaharah Mokhtar dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Nurul Adawiyah Ismail.

Draf berkenaan dipamerkan di MPAG, Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara dan PLANMalaysia Cawangan Melaka mulai 20 Jun lalu hingga 20 Julai ini bagi membolehkan anggota masyarakat membuat bantahan dan mengemukakan cadangan sebelum diwartakan.

Draf berkenaan turut mencadangkan pembinaan perumahan mampu milik dan penempatan semula penduduk serta menaik taraf pusat perkhidmatan pelancong yang antara lain mencadangkan pembinaan ‘water front’ di Pengkalan Balak.

“Kami mencadangkan pembinaan semula Tanjung Bidara Resort dan mewujudkan Kampung Mesra Penyu dalam draf itu bagi meningkatkan kemajuan industri pelancongan,” katanya.

-ends-

Views:

667
Kongsi :
Previous post Man, 62, second rabies victim in Sarawak this year
Next post Korban COVID-19 di seluruh dunia sudah melepasi 500,000 orang
Ubah saiz-+=