RM24.3 juta kerugian akibat jenayah komersial

0
1664
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan E. Sundra Rajan. Gambar fail.

AYER KEROH 3 Nov. – Sebanyak RM24.3 juta kerugian direkodkan daripada 896 kes pelbagai kesalahan membabitkan jenayah komersial di negeri ini bagi tempoh sembilan bulan sejak Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan Sundra Rajan, berkata kerugian itu merangkumi pelbagai kes dengan penyumbang terbesar adalah penipuan, 858 kes dan pecah amanah sebanyak 23 kes selain pemalsuan dan juga kes-kes jenayah siber.

Katanya, dalam tempoh sama tahun lalu, jumlah kes jenayah komersial meningkat sebanyak 223 kes berbanding 673 kes membabitkan kerugian berjumlah RM19.2 juta.

“Kita melihat jenayah komersial sedikit meningkat ketika COVID-19 bermula awal Mac lalu sekali gus menyumbang kepada pertambahan.

“Ini mungkin disebabkan ramai yang duduk di rumah dan menggunakan telefon ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan mereka menghabiskan banyak masa untuk melayari internet sekali gus berisiko ditipu secara ‘online’,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di pejabatnya di Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka, baru-baru ini.

Tambahnya, kes penipuan yang mencatatkan 858 kes menjadi penyumbang terbesar disebabkan trend jenayah terkini seperti penipuan atas talian (e-belian), sindiket penipuan penyamaran sebagai pegawai bank (Macau scam) dan sindiket pinjaman tidak wujud (PTW).

“Statistik kes pembelian ‘online’ bagi tempoh Januari hingga September lalu merekodkan 158 kes dengan jumlah kerugian adalah RM10.8 juta berbanding hanya 57 kes dengan jumlah kerugian RM5.6 juta tahun lalu,” katanya.

Jelasnya, walaupun secara perangkaan kes-kes jenayah komersil masih tidak membimbangkan, namun kes penggunaan akaun-akaun peribadi atau pun diistilahkan ‘mule account’ yang juga dikenali ‘keldai akaun’ perlu diberi perhatian serius.

“Dalam kes-kes sebegini, terdapat dua situasi kes iaitu sama ada pemilik akaun tersebut menjadi sasaran tanpa mengetahui butiran peribadi disalahgunakan pihak ketiga, ataupun pemilik sendiri telah menjual akaun bank mereka untuk digunakan dalam urusan transaksi pemindahan wang.

” Dalam kes ini, pemilik akaun akan menerima imbuhan seperti komisen atau upah untuk membuka akaun dan menyerahkan nombor akaun dan nombor pin kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada penjenayah penipuan,” katanya.

Sundra Rajan berkata, penjenayah sering menjadikan penagih dadah, ibu tunggal atau golongan susah sebagai sasaran ‘keldai akaun’ kerana kumpulan itu yang mudah ‘diumpan’ dengan imbuhan antara RM200 hingga RM2,000 untuk membuka akaun.

Tambahnya, bagi memastikan jenayah itu tidak semakin berleluasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman telah melancarkan operasi ‘Ops Mule’ secara serentak di seluruh negara dengan menyasarkan pemilik akaun yang terlibat dalam tiga modus operandi jenayah komersil iaitu ‘Macau scam’, pinjaman tidak wujud dan e-belian.

“Berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan berserta bukti-bukti yang diperoleh, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan atas kesalahan membantu menyembunyikan wang hasil penipuan dan sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali. ”

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat akaun atau menyerahkan kad bank berserta kata laluan kepada orang lain,” katanya.

Mengulas Sundra berkata, orang ramai juga perlu berhati-hati dalam melakukan pemindahan wang ke akaun tidak dikenali serta terlebih dahulu menyemak nombor akaun yang meragukan.

“Semakan boleh dibuat melalui aplikasi Semak Mule CCID yang membolehkan masyarakat melihat akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih.

“Orang ramai boleh memuat turun aplikasi berkenaan di telefon bimbit untuk membuat semakan awal sebelum mereka menjadi mangsa penipuan,” katanya.