Roslan Ariffin dilantik CEO Bernama yang baharu
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin dilantik sebagai CEO agensi itu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan hari ini.
“Saya yakin dengan kepakaran dan pengetahuan yang dimiliki oleh beliau, pelantikan ini akan terus memacu kecemerlangan dan memberi suntikan baharu kepada Bernama khususnya dalam menerajui perkembangan industri kewartawanan di negara ini,” katanya.
Roslan, 56, menggantikan Datuk Mokhtar Hussain yang tamat tempoh kontrak pada 19 Feb lepas.
Roslan, pemegang Ijazah Sarjana Muda bidang komunikasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu memulakan kariernya di Bernama sebagai wartawan pada 1990, mula memangku jawatan CEO sejak 21 Mac lepas.
Roslan yang berpengalaman luas, pernah menggalas tanggungjawab penting di Bernama antaranya sebagai Ketua Biro, Ketua Program BernamaTV, Editor Eksekutif, Ketua Penyiaran (TV dan Radio), sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perniagaan dan Kewangan.
Selain itu, beliau juga pernah ditempatkan di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) selama empat tahun bermula 2008 hingga 2012, antara lain sebagai Ketua Wartawan, Ketua Editor serta Timbalan Pengarah Seksyen Hal Ehwal Semasa.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.