Roziah wanita pertama dilantik Naib Canselor UiTM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR 3 Sept – Prof Dr Roziah Mohd Janor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), sekali gus menjadikan beliau wanita pertama dilantik ke jawatan itu di universiti berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, beliau menyerahkan surat pelantikan kepada Roziah hari ini.

“Roziah mampu menggalas tanggungjawab menjadikan UiTM sebuah universiti mega seterusnya memberi peluang luas kepada bumiputera memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan tinggi dalam semua bidang dan meneruskan kecemerlangan kepimpinan UiTM,” kata Noraini menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi beliau.

Roziah, 58, yang sebelum ini Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM menggantikan Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim yang tamat perkhidmatan pada 10 Mac lalu.

Roziah berkelayakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik dari The State University of New York @ New Paltz New York, Amerika Syarikat (AS) serta Ijazah Sarjana dalam bidang sama dari West Virginia University (AS) dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Statistik pada tahun 2003 dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau telah menggerakkan 22 inisiatif Globally Reknowned University 2025 seperti penggabungan Fakulti menjadi Kolej Pengajian 10 bidang, Education 5.0@UiTM dan Global Learning selain menganggotai badan profesional Malaysia Board of Technologist (MBOT) dan pernah menerima pelbagai anugerah.

Antara anugerah yang pernah diterima termasuk seperti Staff Excellence Award UiTM pada tahun 2002, 2008, 2009, 2013 dan 2017, Researcher of the Year UiTM 2007 dan Bronze Medal for GPP Modified Socio Mobility Index: Quantifying Actual Development Impact dari Malaysian Association of Research Scientist.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2530
Kongsi :
Previous post Melaka destinasi pelancongan tercantik di Malaysia
Next post Guru enggan divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka
Ubah saiz-+=