Rumah Terbuka Klebang tonjol perkongsian, kebersamaan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KLEBANG 18 April – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang menonjolkan semangat perkongsian dan kebersamaan di antara masyarakat berbilang kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, ia dapat dibuktikan apabila majlis berkenaan dihadiri bukan sahaja masyarakat Melayu, bahkan Cina dan India turut bersama dalam meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Jelasnya, selain berkongsi kegembiraan dan kemeriahan, penganjuran itu juga dapat mengeratkan lagi hubungan di antara pelbagai lapisan masyarakat sama ada mereka yang senang mahupun susah.

“Konsep perkongsian dan kebersamaan ini juga terpakai dalam era kuasa dan pentadbiran pada hari ini di bawah Kerajaan Perpaduan yang memperkenalkan konsep Malaysia Madani.

“Jadi, konsep perkongsian dalam menyambut perayaan ini juga boleh membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan kepada negara dan masyarakat.

“Kita berharap tradisi ini akan terus dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya kepada pemberita pada sambutan berkenaan yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, Bukit Rambai, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Majlis itu dihadiri kira-kira 5,000 masyarakat berbilang kaum dan turut diserikan dengan persembahan busking serta pelbagai jenis juadah hari raya turut disajikan kepada pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

106
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Melaka kembali menurun
Next post Rumah Terbuka Aidilfitri Durian Tunggal hidang lauk kampung
Ubah saiz-+=