Saiful Azly antara 33 pegawai kanan PDRM terbabit pertukaran

Masa Membaca:2 Minit, 56 Saat

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin antara 33 pegawai kanannya yang terbabit pertukaran jawatan serta kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 November depan.

Saiful Azly bertukar sebagai Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia KPN, Superintendan A Skandaguru dalam kenyataan berkata, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan menggantikan tempat Saiful Azly sebagai Timbalan Pengarah JPJKK Bukit Aman.

Menurutnya, jawatan Mazli pula akan digantikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Datuk Jauteh Dikun dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

“Selain itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Azizi Mat Aris dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat DCP,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, Juruiring Polis kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Datuk Yahaya Othman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat DCP menggantikan penyandangnya Datuk Yong Lei Choo yang akan bersara wajib 27 Oktober ini.

Katanya, Ketua Penolong Pengarah (D1) Kepolisan Kawalan Dalaman, JSJ Bukit Aman Datuk Zainol Samah pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

“Selain itu, Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Hamzah Ahmad pula dilantik sebagai Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM),Kementerian Dalam Negeri) dengan memangku DCP.

“Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, SAC Mohd Alwi Zainal Abdin pula akan memikul jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Penjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan di Bukit Aman menggantikan Azizi,” katanya.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Pada peringkat daerah, pegawai kanan yang terbabit pertukaran adalah Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Polis (ACP) Afzanizar Ahmad yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah D1 Kepolisan Kawalan Dalaman, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, ACP Noorzainy Mohd Noor pula menggantikan tempat Mohd Alwi di Perak dengan memangku pangkat SAC.

Tempat beliau sebagai Ketua Polis Daerah SPU akan digantikan oleh Superintendan D14 Pengawasan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Mohd Radzi Ahmad dengan memangku pangkat ACP.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli pula bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Kewangan/Perolehan/Kepolisan Am), Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman dengan memangku SAC.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Said Ibrahim pula dilantik sebagai Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, dengan memangku pangkat SAC menggantikan SAC Hamzah Ahmad.

Seorang lagi pegawai kanan peringkat daerah iaitu Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Ma’arof akan menggantikan Mohd Said sebagai Ketua Polis Daerah Seremban dengan memangku ACP.

Superintendan Seksyen Pelaksanaan dan Pemantauan, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman, Superintendan Christopher Patit menggantikan Afzanizar sebagai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah memangku pangkat ACP.

Sementara itu, jawatan Ketua Polis Daerah Brickfields juga mengalami pertukaran apabila Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor pula diangkat untuk jawatan tersebut dengan memangku pangkat ACP menggantikan ACP Anuar Omar yang dijangka bersara wajib tidak lama lagi.

Ketua Polis Balai Taman Tun Dr Ismail (Modern Policing) IPD Brickfields, Deputi Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi akan bertukar ke Perlis sebagai Ketua Polis daerah Arau memangku Superintendan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3204
Kongsi :
Previous post Karnival Pekerjaan PERKESO secara maya
Next post Jumlah individu hilang pekerjaan antara fokus Dewan Rakyat hari ini
Ubah saiz-+=