Sambutan Hari Malaysia di Melaka bertemakan era 60-an

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SERI NEGERI 2 September – Sambutan Hari Malaysia yang akan disambut secara besar-besaran di Melaka pada 16 September ini akan bertemakan era 60-an.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, tema itu dipilih sebagai simbolik menimbulkan nostalgia ketika Malaysia terbentuk pada September 1963.

Beliau berkata, selain tema yang unik, pelbagai acara telah disusun antaranya persembahan setiap wilayah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, selain turut membawakan artis dan ikon yang mewakili wilayah berkenaan.

“Istimewanya juga, untuk julung kalinya, sambutan kali ini diadakan secara ‘outdoor’ dengan majlis akan bermula pada jam 7.30 malam.

“Justeru, jemputan dan orang ramai yang hadir adalah digalakkan mengenakan busana tradisional mengikut etnik masing-masing terutamanya busana atau pakaian yang bersifat silam, ertinya mengikut nuansa era 60-an,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk sempena Sambutan Hari Malaysia Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, di sini, hari ini.

photo1662095009
ANNUAR (kanan) menerima cenderahati daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (kiri) ketika mengadakan kunjung hormat di Pejabat Ketua Menteri. Foto: MR Azli

Mengulas lanjut, Annuar berkata, majlis sambutan itu akan diadakan di Dataran Memorial Kemerdekaan Banda Hilir dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam akan menjadi tetamu kehormat.

Pada majlis itu juga, katanya, akan diadakan acara menandatangani buku Peringatan Perisytiharan Hari Malaysia di antara Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob bersama Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.

Katanya, dianggarkan puluhan ribu rakyat akan hadir memeriahkan sambutan yang pertama kali diadakan di Semenanjung Malaysia itu.

“Majlis sambutan ini juga akan disiarkan secara langsung oleh kebanyakan stesen televisyen utama negara, justeru mereka yang tidak dapat hadir boleh mengikuti siaran secara langsung itu,” katanya.

Annuar berkata, untuk sambutan Hari Malaysia ini, tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama masih dikekalkan dalam membentuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4575
Kongsi :
Previous post Anak penyu berkepala dua ditemukan di Tanjong Jara
Next post MAFI bantu nelayan darat bangkit semula
Ubah saiz-+=