Sampah lampin pun tersangkut di atas pokok

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TANJUNG TUAN 14 Mei – Lampin pakai buang yang tersangkut di atas pokok merupakan antara sampah yang ditemukan dalam beberapa program pembersihan hutan simpan dan pantai sekitar Tanjung Tuan sebelum ini.

Berkongsi pengalaman itu, Penolong Pemelihara Hutan, Jabatan Perhutanan Alor Gajah Mohd Asrol Che Mud berkata, barang itu antara sampah yang ditemui setiap kali program gotong royong dijalankan pihak dengan kerjasama pelbagai agensi dalam memelihara khazanah di kawasan berkenaan.

Jelasnya, pihaknya kecewa dengan sikap segelintir pengunjung yang meninggalkan sampah bertaburan di kawasan berkenaan selepas mengunjungi lokasi pelancongan itu.

“Sampah itu kemudian dileraikan haiwan seperti monyet dan kera yang berhabitat di kawasan ini lalu membawanya ke atas pokok.

“Ini semua sikap kita sendiri sebenarnya yang perlu peka dengan keadaan sekitar dan mereka kena tahu ini habitat mereka dan jangan kumpul mahupun buang sampah sesuka hati.

“Kalau ada bawa sampah pastikan kita bawa pulang bersama, ini lokasi pelancongan dan kawasan terpelihara jadi pengguna perlu tahun dan ada kesedaran mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Voluntourism Malaysia Bersih dan Indah: Penghijauan Malaysia diadakan di Hutan Simpan Tanjung Tuan, di sini hari ini.

Penolong Pemelihara Hutan, Jabatan Perhutanan Alor Gajah Mohd Asrol Che Mud

Dalam program diadakan menerusi kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Perhutanan negeri dan Majlis Perwakilan Kolej 17, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melibatkan kira kira 60 sukarelawan hadir membabitkan pelajar dan pensyarah universiti itu.

Program diadakan sejak awal pagi tadi melibatkan kerja-kerja pembersihan di sepanjang trek laluan pejalan kaki ke puncak Tanjung Tuan dan penanaman 300 spesies bakai di kawasan berkenaan.

Nazirul Mubin Osman,21

Sementara itu, seorang peserta, Nazirul Mubin Osman,21 terkilan dengan keadaan kawasan berkenaan selepas melihat longgokan sampah dibiarkan di kawasan berkenaan.

Dia yang merupakan pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM berkata, rata rata sampah yang dikutip merupakan sampah plastik, botol dan polisterin di buang merata di kawasan berkenaan.

“Malah ada juga longgokan sampah sedangkan tong sampah disediakan di kawasan ini.

“Sebagai antara peserta yang pertama kali menjejakkan kaki di kawasan pelancongan ini saya berasa kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab membiarkan perkara ini berlaku sedangkan ini merupakan kawasan yang perlu dijaga dengan rapi.

“Status Melaka yang diiktiraf negeri bersih suatu ketika dahulu perlu dicapai semula bagi memastikan kelestarian alam dapat terus dipelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1231
Kongsi :
Previous post UMNO pinda perlembagaan esok
Next post Jangan jadi sudu lebih dari kuah
Ubah saiz-+=