Sarawak, Kelantan beralih ke fasa empat PPN Isnin ini – Hishammuddin

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Kerajaan bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan, beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) Isnin ini, menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dengan peralihan di kedua-dua negeri berkenaan dari Fasa Tiga sebelum ini, ia bermakna seluruh negara kini berada di Fasa Empat PPN.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin bagaimanapun menyeru orang ramai agar tidak berasa terlalu selesa, memandangkan COVID-19 masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.

“Saya ingin memaklumkan SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Empat PPN adalah sama dengan sebelum ini,” katanya.

“Pakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala dan amalkan TRIIS (Ujian, Laporan, Asingkan, Maklumkan, Cari). dengan sebaik mungkin.

Hishammuddin turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Tahun 2021 sarat dengan ujian dan cabaran namun alhamdulillah kita telah dapat laluinya bersama-sama. Marilah kita doakan, semoga tahun 2022 menjadi tahun yang lebih bermakna buat diri, keluarga dan negara. InsyaAllah,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post Ribut petir landa Melaka, beberapa negeri pagi ini
Next post Kertas siasatan Long Tiger lari dari lokap mahkamah hampir siap – Ayob Khan
Ubah saiz-+=