Sasar 10 peratus orang awam di Melaka miliki ilmu asas pertahanan awam

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 27 Ogos – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka telah melatih lebih 200 orang awam dalam tempoh setahun di negeri ini agar mempunyai ilmu asas pertahanan awam.

Pengarah APM Melaka, Leftenan Kol. Kamarulsyah Muslim berkata langkah itu bagi mencapai sasaran kerajaan yang mahu 10 peratus rakyat mempunyai ilmu asas tersebut.

Katanya, pihaknya turut melatih lebih lima kumpulan atau badan bukan kerajaan (NGO) setiap tahun untuk mencapai sasaran tersebut.

“Ilmu asas pertahanan awam ini kita cuba untuk mendidik dan melatih setiap peserta dan kalau boleh kita mahu lebih ramai orang awam mempunyai ilmu asas ini.

“Dalam usaha untuk menyalurkan ilmu asas ini juga kerajaan menubuhkan pasukan bantuan (CDA) dan ia berdasarkan tiga skop bantuan utama iaitu latihan, kepakaran dan pelbagai.

“Di mana, ahli pasukan CDA ini terdiri daripada orang awam atau sukarelawan APM yang dilatih untuk sentiasa bersedia memberikan bantuan awal sekiranya berlaku bencana,” katanya.

aad361e8-8da7-49bd-8e9d-d473e28eaf31
ANTARA ahli CRSM yang menjalani Latihan Asas Pengendalian Bot.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Tamat Latihan Asas Pengendalian Bot di Seafarer Explorer di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Ketua Skuad Bantuan Krisis (CRSM) Melaka, Yong Fun Juan.

Dalam pada itu, Kamarulsyah memaklumkan bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024) pihaknya akan melipat gandakan kesiap siagaan sekiranya berlaku kemalangan atau bencana luar jangka di sekitar kawasan pelancongan.

“Kita sentiasa bersiap sedia, malahan untuk TMM2024, kita akan lebih kerap dalam siap siaga, ini berikutan pelancong akan lebih ramai ke negeri ini dan perkara luar jangka yang sukar dielakkan akan berlaku.

“APM sentiasa menjadi pihak yang memberi bantuan awal sekiranya berlaku kemalangan dan sebagainya, jadi kita akan minta anggota sentiasa bersedia di lokasi pelancongan khususnya sekitar Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1035
Kongsi :
Previous post 42 ahli CRSM sedia kendali bot bermotor salur bantuan
Next post Pindaan Akta Orang Asli di peringkat kedua
Ubah saiz-+=