Sasar 10,000 guna perkhidmatan ‘Bus On Demand’ sebulan

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BANDA HILIR 17 September – Seramai 10,000 rakyat Melaka dan pelancong disasar akan menggunakan perkhidmatan ‘Bus On Demand’ Kumpool Kasturi dalam tempoh sebulan.

Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd Rohazam Bakar berkata, perkhidmatan pengangkutan awam berkonsepkan e-hailing itu bukan sahaja memudahkan orang ramai, bahkan dapat membantu mengatasi kesesakan, khususnya di sekitar Bandaraya Melaka.

Katanya, buat masa ini sebanyak lapan kenderaan membabitkan van, van coaster dan bas disediakan untuk pengguna yang mampu memuatkan 11 hingga 30 penumpang pada satu-satu masa.

Tambahnya lagi, sebanyak 120 ‘checkpoint’ tersenarai dalam aplikasi Kumpool Kasturi membabitkan radius 7 kilometer (km) dalam kawasan Bandaraya Melaka iaitu merangkumi kawasan Banda Hilir hingga ke Limbongan dan sampai ke Melaka Sentral serta Hospital Melaka.

“Waktu operasinya bermula pada jam 6.30 pagi hingga 11 malam pada setiap hari yang mana ia juga boleh digunakan untuk pengunjung yang mahu akses ke Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir pada setiap malam minggu.

“Selain itu, ‘Bus On Demand’ ini juga boleh digunakan oleh pekerja yang mahu ke mana-mana kawasan yang mungkin sukar untuk mendapatkan parkir ataupun untuk anak-anak ke sekolah.

“Caranya juga mudah iaitu pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Kumpool Kasturi dan pilih lokasi mereka, malah harganya juga lebih murah berbanding aplikasi e-hailing lain iaitu sekitar RM1 hingga RM5,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Promosi Program Santai@Banda Hilir ‘Bus On Demand’ Kumpool Kasturi di Jalan Laksamana, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

IMG_20230917_020135_782
Pengunjung menggunakan aplikasi Kumpool Kasturi untuk menempah perkhidmatan ‘Bus On Demand’ pada Program Santai@Bandar Hilir Bus On Demand ‘Kumpool Kasturi’. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Rohazam berkata, selain ‘Bus On Demand’ pihaknya telah melancarkan ‘Smart Journey Melaka’ iaitu suatu evolusi baharu bagi pengangkutan awam di negeri ini.

Katanya, aplikasi di hujung jari itu bakal memudahkan orang ramai, khususnya rakyat negeri ini menggunakan perkhidmatan awam untuk ke mana-mana lokasi di seluruh negeri.

“Insya-Allah selepas ini kesemua aplikasi Panorama Melaka akan disatukan di bawah Smart Journey Melaka, termasuk untuk ‘Bus On Demand’ Kumpool Kasturi yang mana ia akan memberi kemudahan kepada orang ramai bagi kegunaan seharian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1663
Kongsi :
Previous post ‘Ada pengunjung minta tambah hari Zon Bebas Kenderaan’
Next post Kembalikan kegemilangan Pantai Tanjung Bidara
Ubah saiz-+=