‘Ada pengunjung minta tambah hari Zon Bebas Kenderaan’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 17 September – Kemeriahan suasana malam di Banda Hilir selepas sebulan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan memperlihatkan inisiatif itu berjaya dan berupaya menarik kehadiran pelancong.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif yang sudah masuk minggu kelima pada 16 September itu sehingga kini masih menerima maklum balas cukup positif.

Malah, katanya, ada dalam kalangan pengunjung dan pelancong meminta untuk menambah bilangan hari pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan itu pada masa akan datang.

“Memang ramai yang memberikan maklum balas cukup positif dan boleh dikatakan 90 peratus menyokong inisiatif Zon Bebas Kenderaan ini.

“Jadi, kita akan teruskan, namun setakat ini kita masih kekal melaksanakannya pada satu hari sahaja iaitu setiap Sabtu dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

“Pada masa sama, kita juga akan terus melakukan penambahbaikan termasuk membabitkan aspek parkir kenderaan dan pengangkutan awam yang memudahkan akses orang ramai ke kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Promosi Program Santai@Banda Hilir ‘Bus On Demand’ Kumpool Kasturi di Jalan Laksamana, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil dan Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd Rohazam Bakar.

IMG_20230917_015417_866
SHADAN bersama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd Zin dan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil melihat antara Bus On Demand ‘Kumpool Kasturi’ yang disediakan untuk memudahkan akses pengunjung ke Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas mengenai pengenalan ‘Bus On Demand’ itu, Shadan percaya ia sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan untuk pengunjung yang mahu ke Banda Hilir.

Katanya, dengan harga serendah RM1 hingga RM5, bas berkonsepkan e-hailing seperti Grab itu mampu memudahkan pengunjung untuk akses ke Banda Hilir dan kawasan sekitar dalam radius 7 kilometer di Bandaraya Melaka.

“Walaupun parkir telah banyak disediakan, namun ini boleh menjadi salah satu alternatif yang akan memudahkan pengunjung datang ke Zon Bebas Kenderaan setiap malam minggu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1848
Kongsi :
Previous post Satu malam, 12,000 pengunjung santai di Banda Hilir
Next post Sasar 10,000 guna perkhidmatan ‘Bus On Demand’ sebulan
Ubah saiz-+=