Kembalikan kegemilangan Pantai Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 17 September – Pantai Peranginan Tanjung Bidara, akan diberi wajah baharu dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk untuk aktiviti rekreasi anak muda dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung singgah ke pusat peranginan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri komited untuk mengembalikan semula kegemilangan tarikan Tanjung Bidara yang pernah menjadi lokasi tumpuan pelancong sekitar tahun 1970-an.

Jelasnya, ketika ini Kerajaan Negeri menerusi agensi dan jabatan berkaitan sedang merangka pelan bagi membangunkan Pantai Tanjung Bidara sebagai pusat rekreasi dan taman ekstrem anak muda.

“Kita akan memastikan Pantai Tanjung Bidara bakal dikenali sebagai lokasi riadah dan taman ekstem di Masjid Tanah. Pelbagai tarikan lain akan dibangunkan seperti litar sukan kereta kawalan radio jarak jauh (RC) bertaraf antarabangsa.

“Kerajaan Negeri komited untuk mengembalikan kegemilangan Tanjung Bidara seperti era sekitar 70-an dahulu sebagai pusat peranginan yang terkenal pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Melaka diadakan di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Kanan Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam, Exco serta Timbalan Exco Kerajaan negeri.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Khairul Adri Rosli.

Program sehari itu berlangsung meriah dengan dihadiri lebih 10,000 pengungunjung dan peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti berbasikal, Muaythai, Fun Ride, Fun Run, sukan tradisional dan senamrobik.

Mengulas lanjut, Ab Rauf dalam ucapannya berkata, peruntukan kira-kira RM7 juta diperlukan bagi tempoh jangka masa pendek untuk melengkapkan Pantai Tanjung Bidara dengan kemudahan yang dirancang.

“Manakala, bagi jangka masa panjang, anggaran kos dijangka sebanyak RM40juta diperlukan untuk membangunkan kawasan pelancongan. Antara yang dirancang adalah jeti sebagai mercu di Pantai Tanjung Bidara selain beberapa pembangunan lain seperti benteng pemecah ombak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1026
Kongsi :
Previous post Sasar 10,000 guna perkhidmatan ‘Bus On Demand’ sebulan
Next post 10,000 ‘berpeluh’ di Pantai Tanjung Bidara
Ubah saiz-+=