10,000 ‘berpeluh’ di Pantai Tanjung Bidara
TANJUNG BIDARA 17 September – Lebih 10,000 pengunjung dan peserta membanjiri Pantai Tanjung Bidara, sekali gus memeriahkan sambutan Program Jelajah Fit Malaysia Peringkat Negeri Melaka, hari ini.
Program bermula seawal jam 7 pagi tadi membabitkan pelbagai acara sukan dan aktiviti kecergasan seperti Fun Ride 30 kilometer (km), Fun Ride 10km, Fun Run 5 dan 10km, lompat tali dan aerobicthon.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, turut meluangkan masa untuk melepaskan hampir 8,000 peserta mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diatur.
Suasana di Pantai Tanjung Bidara dimeriahkan lagi dengan penganjuran Kenduri Rakyat, Hari Bertemu Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan cabutan bertuah menawarkan hadiah menarik seperti basikan serta motosikal.
AB Rauf ketika ditemui pemberita berkata, penganjuran kali kedua bagi peringkat negeri itu menjadi medan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan perpaduan kaum menerusi aktiviti sukan serta kecergasan.
“Sukan tidak harus dilihat sebagai aktiviti bersifat pertandingan dan persaingan semata-mata, sebaliknya harus kembali kepada tujuan asas serta objetktif utama bersukan iaitu untuk menyihatkan tubuh badan.
“Justeru itu, saya amat menggalakkan agar model Fit Malaysia ini dilaksanakan di kawasan kejiranan masing-masing, taman perumahan, kampung tradisional, malah di mana sahaja yang sesuai dan selamat,” katanya.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Kanan Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam, Exco serta Timbalan Exco Kerajaan negeri.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Khairul Adri Rosli.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.