Sasar 42,000 unit RMM dibina menjelang 2030

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan sebanyak 42,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dibina di negeri ini menjelang tahun 2030.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini sebanyak 6,357 unit RMM siap dibina.

“Manakala sebanyak 17,367 unit sedang dalam pembinaan dan sebanyak 15,891 unit masih dalam perancangan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 39,615 RMM bakal dibina di negeri ini dan tidak mustahil mencapai sasaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan RMM antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan empat syarikat di Seri Negeri, hari ini.

Empat syarikat itu meliputi Syarikat Jun Cheng Development Sdn Bhd bagi pembangunan bercampur di Mukim Sungai Rambai Daerah Jasin, Syarikat Parkland Avenue Sdn Bhd bagi pembangunan bercampur di Mukim Jasin Daerah Jasin.

Diikuti Syarikat Scientex Heights Sdn. Bhd., bagi pembangunan bercampur di Mukim Durian Tunggal Daerah Alor Gajah dan Syarikat Teladan Setia Sdn Bhd bagi pembangunan bercampur di Mukim Tanjung Minyak Daerah Melaka Tengah.

Jelas Sulaiman, perjanjian pembangunan itu bakal membangunkan sebanyak 7,666 unit rumah.

“Ia meliputi RMM Jenis B (rumah kos sederhana rendah) 715 unit, RMM Jenis C (Rumah Mampu Milik) 1,453 unit, RMM belia 626 unit dan Terbuka sebanyak 4,872 unit.

“Kerja-kerja pembangunan dimulakan dalam tempoh 60 atau 90 hari dari tarikh kelulusan lesen pemaju perumahan dan permit iklan diperolehi.

“Projek hendaklah disiapkan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh kerja-kerja pembangunan dimulakan,” katanya lagi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan lain-lain kenamaan.

Views:

726
Kongsi :
Previous post Norazlan tidak tolak untuk kekal bersama MU
Next post Covid-19: Lima kes baharu dicatat hari ini, tiga dalam negara, dua import
Ubah saiz-+=