Sasar 69,020 remaja sekolah di Melaka divaksin akhir Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BUKIT KATIL 23 Sept – Sekurang-kurangnya 69,020 orang kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini akan diberikan vaksin akhir Oktober ini.

Exco Kesihatan negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja itu, bermula dengan pemberian vaksin kepada 27,779 remaja berusia 16 hingga 17 tahun diikuti 51,688 remaja berumur 12 hingga 15 tahun.

“Pemberian vaksin bagi kanak-kanak dan remaja telah bermula semalam yang mana menyaksikan seramai 3,600 telah diberi suntikan.

“Manakala hari ini, 3,000 lagi remaja telah disuntik menjadikan keseluruhan 6,500 remaja yang menerima dos pertama vaksin dalam tempoh dua hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali di sini hari ini.

RAHMAD Mariman

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, setakat ini, semua pelajar berkenaan hanya akan menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Tambahnya, selain daripada 10 PPV yang dibuka PICK Remaja, beberapa buah klinik swasta juga akan dilantik sebagai PPV yang akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Saya mohon Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi agar tidak menutup mana-mana PPV sehinggalah semua remaja telah lengkap divaksin,” katanya.

Rahmad berkata, tarikh janjitemu akan diberikan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa bagi anak-anak berumur 12 hingga 17 tahun.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya membawa anak-anak hadir ke PPV mengikut tarikh dan arahan yang diterima melalui sekolah.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berumur 12 hingga 17 tahun yang bersekolah di sekolah-sekolah luar negeri Melaka, bolehlah hadir secara jumpa terus atau ‘walk-in’.

“Pelajar yang berhasrat untuk jumpa terus perlu membawa dokumen surat pengesahan sekolah atau kad pelajar dan telefon pintar yang berdaftar dengan MySejatera ketika ke PPV,” katanya.

Untuk rekod Program Imunisasi COVID-19 negeri Melaka telah bermula pada 26 Februari lalu, sehingga 20 September lepas seramai 617,342 (91.1%) orang dewasa berumur 18 tahun ke atas telah menerima vaksin Dos 1 dan 530,744 (78.4%) orang yang telah lengkap dua dos.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post Lepaskan abu: KM sudah kenal pasti lokasi upacara keagamaan Hindu.
Next post Peniaga kembali bersemangat waktu operasi dilanjutkan
Ubah saiz-+=