Satu kerugian Melaka United sekadar seri – Mohd Asri

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

MELAKA, 21 Julai – Pemangku Ketua Jurulatih Melaka United Mohd Asri Ninggal mengakui satu kerugian kepada pasukannya yang sekadar meraih satu mata selepas seri 2-2 bertemu Petaling Jaya (PJ) City FC pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam tadi.

Beliau berkata pada perlawanan di laman sendiri itu mereka sepatutnya memanfaatkan peluang yang ada untuk meraih mata penuh namun akibat kesilapan mudah membiarkan pasukan pelawat menjaringkan gol dan berkongsi mata.

“Dalam bola sepak jika kita beri peluang kepada pasukan lawan mendapatkan gol, mereka akan lebih bersemangat tetapi syukurlah kami dapat mengikat kembali kedudukan untuk satu mata dan ia lebih baik daripada tiada apa-apa.

“Kami juga kekurangan dari segi kreativiti di kawasan tengah yang mungkin disebabkan faktor pemain-pemain yang cedera, namun sebenarnya tidak boleh dijadikan alasan kerana kami patut menang tetapi menolak tuah dan perlu salahkan diri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Terdahulu pada perlawanan itu, tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi pemain import Emmanuel Oti namun tujuh minit kemudian PJ City berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerangnya Darren Lok.

Pemain Melaka United FC, Emmanuel Oti Essigba meraikan jaringan gol minit ke-36 dalam aksi Liga Super menentang PJ City FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini. Foto: MR. AZLI

Pada babak kedua, pasukan kendalian P. Maniam lebih bersemangat dan terus memberi tekanan kepada tuan rumah hingga berjaya mendahului perlawanan menerusi K. Gurusamy pada minit ke-64 sebelum Melaka United mengikat kedudukan menerusi Sony Norde pada minit ke-76 dan keputusan 2-2 kekal hingga tamat permainan.

Mohd Asri berkata dalam tempoh masa singkat, beliau akan memastikan tahap kecergasan anak-anak buahnya kembali pulih dan bersedia serta memperbaiki tahap permainan sebelum berdepan tugas berat menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu ini pada aksi suku akhir Piala FA 2022.

Keputusan itu menyaksikan Melaka United kekal di tangga kelapan carta Liga Super dengan 13 mata dan diekori PJ City di kedudukan ketujuh yang mengumpul 11 mata.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1255
Kongsi :
Previous post Bas ekspres dua tingkat bawa 25 penumpang terbalik
Next post Pupuk kesedaran dan tanggungjawab jaga kebersihan
Ubah saiz-+=