“Saya tak reka cerita, memang rentas negeri untuk ambil kereta dibaiki di Tampin’- Omar Latif

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

ALOR GAJAH 31 Mei – “Memang pakcik sendirian memandu untuk mengambil kereta di Tampin tetapi kereta yang dipandu itu kepunyaan bengkel kereta,” kata Omar Latip, warga emas yang tular dikompaun RM5,000 atas kesalahan merentas daerah ke Tampin baru-baru ini.

Menurut Omar, 74, dia meminjam kereta jenis Perodua Kancil milik bengkel terbabit pada hari dia menghantar keretanya untuk dibaiki pada 25 Mei lalu.

Omar Ab Latip. Foto Twitter – Fareez Azman.

 

“Tiga hari selepas itu saya memandu kereta Kancil tersebut ke Tampin untuk mengambil kereta yang siap dibaiki dan perkara itu sudah pun saya jelaskan kepada anggota polis yang bertugas.

“Malah saya turut memberi kad bengkel untuk membuktikan saya mahu mengambil kereta di bengkel dekat Tampin tetapi saya tetap dikompaun,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Omar yang tinggal di Gadek, di sini ditahan semasa pemeriksaan di jalan by pass Tampin oleh Pasukan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab menjelaskan tindakan kompaun ke atas Omar kerana warga emas itu memberi alasan tidak munasabah dan sering mengubah alasan ketika ditahan.

Menurut Omar, dia tidak akan keluar rumah sesuka hati dan memandu kereta ke Tampin tanpa alasan atau sebab yang munasabah.

“Sebabnya saya mahu mengambil kereta yang sudah siap dibaiki dan bagi sebab itu, sudah tentulah saya memandu kereta Kancil yang saya pinjam dari bengkel untuk mengambil kereta saya.

“Untuk apa saya menipu dan mereka-reka cerita yang tidak betul, malah untuk menyokong alasan saya itu, saya tunjukan kad bengkel.

“Polis bertugas boleh sahaja periksa dengan pihak bengkel kesahihan alasan saya itu,” katanya.

Omar berkata, selepas memberi kad bengkel kepada anggota polis terbabit, dia turut menawarkan diri untuk berpatah balik ke Gadek untuk mendapatkan surat kebenaran rentas negeri namun anggota berkenaan tetap mengeluarkan saman kompaun.

“Yang paling saya hairan, selalunya kalau sudah dikompaun tidak boleh rentas daerah atau negeri, pemandu kena berpatah balik tetapi tidak pula berlaku ke atas saya.

“Sebaliknya saya masih boleh ke Tampin dan mengambil kereta,” katanya lagi.

Kata Omar, dia tidak berniat mahu memburukkan nama dan imej baik pihak polis, namun dia berasa terkilan ekoran insiden yang berlaku.

“Sepatutnya polis boleh periksa alasan yang saya beri ketika itu jika saya berbohong atau sebaliknya dan janganlah membuat macam-macam tuduhan untuk menyembunyikan kebenaran, ” katanya.

Katanya, dia perlu segera mengambil kereta yang dibaiki di Tampin bagi kegunaan berniaga di warung demi menampung perbelanjaan kehidupan keluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

514
Kongsi :
Previous post Pandemik COVID-19 masa terbaik buang tabiat buruk merokok
Next post Cheng Hoe yakin sumbangan pemain naturalisasi
Ubah saiz-+=