Segera laksana perkampungan digital – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 19 April – Kerajaan Negeri Melaka akan mewujudkan perkampungan digital bagi memastikan setiap rumah di negeri ini mempunyai alamat yang lengkap dan sistematik.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, lokasi pertama yang akan melaksanakan kaedah itu adalah di Masjid Tanah.

“Kita akan bangunkan kaedah baharu untuk menyelesaikan sistem ‘delivery’ khususnya surat menyurat di negeri ini. Selama ini semua rumah-rumah dalam Negeri Melaka tidak ada alamat yang tepat kerana mereka bersandarkan kepada sistem pembatuan.

“Saya mulakan dalam Negeri Melaka supaya semua rumah tradisi yang ada di negeri ini dinomborkan, ini bagi memudahkan kaedah penghantaran surat-surat kerajaan atau peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023 bertemakan ‘Bijak Laksana Hang Tuah, Berani Laksana Hang Jebat’ di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan dan lain-lain barisan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, inisiatif mewujudkan kampung digital itu telah diperhalusi dan sedang dalam peringkat pelaksanaan.

“Usaha ini tadbir urus saya sendiri, saya harap ia dapat diuruskan dengan baik oleh agensi-agensi berkenaan dengan kadar segera.

“Pelbagai agensi yang akan terlibat seperti pejabat daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan banyak lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2294
Kongsi :
Previous post [DIKEMAS KINI] SENARAI RUMAH TERBUKA KERAJAAN NEGERI MELAKA
Next post ‘Pakej Bantuan Rahmah dan Prihatin Rakyat’ untuk orang Melaka
Ubah saiz-+=