Sejarah tercipta tanggal 10.10.2020

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 10 Okt. – Satu lagi sejarah tercipta pada tanggal 10 Oktober 2020, apabila buat julung kalinya, anak jati Melaka yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka berkenan menganugerahkan darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang Ke-71.

Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri ke-7 pada tanggal 5 Jun lalu bukanlah nama asing di negeri ini.

Beliau pernah menjadi Ketua Menteri pada 1999 hingga 2013 dan telah banyak mengubah corak pentadbiran dan kemajuan Negeri Melaka, selain turut menjadi figura penting menaikkan sektor pelancongan negeri sepanjang berkhidmat.

Pagi tadi, secara rasminya beliau telah merasmikan Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka untuk penggal pertamanya.

Istiadat tersebut berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini yang membabitkan empat sesi iaitu bermula hari ini dan esok, manakala sesi ketiga dan keempat pada 30 Oktober dan 1 November depan.

Istiadat bermula dengan kehadiran Mohd Ali bersama isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman pada jam 8.45 pagi yang disambut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dan pemimpin-pemimpin negeri yang lain.

Beliau kemudiannya berkenan menerima tabik hormat, memeriksa perbarisan dan kawalan kehormatan anggota Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Mahkota Johor yang diketuai Mejar Mohd Zainul Ariffin Zainal Abidin.

Istiadat turut diirngi Pancaragam Iringan dari Batalion Ke-2 Kor Armor Di-Raja.

Sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buloh yang diketuai Leftenan Kolonel Mohammad Asri Che Wil.

Di samping Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri, kerajaan negeri turut mengatur beberapa program lain seperti majlis bacaan Yasin dan doa kesyukuran, khutbah khas, majlis makan malam negeri, kuliah Dhuha dan Sambutan Maulidur Rasul pada 20 Oktober ini di Auditorium Masjid Al-Azim.

Views:

937
Kongsi :
Previous post Istiadat Kawalan Kehormatan Utama pembuka tirai upacara rasmi
Next post KM bakal atur perjumpaan khas sebelum bentang Bajet Negeri Melaka 2021
Ubah saiz-+=