Sekretariat ‘Melaka Industrial Booster’ mesra pelabur

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 8 Mac – Kerajaan Negeri melantik 29 jabatan dan agensi di bawah Sekretariat ‘Melaka Industrial Booster’ (MIB) bagi memperkukuhkan konsep mesra pelabur di negeri ini.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, sekretariat itu juga mampu memastikan tidak berlaku ketirisan dalam urusan permohonan pelaburan.

“Sekretariat yang dilantik akan terlibat dalam semua urusan permohonan pelabur yang datang ke Melaka, sama ada tempatan atau luar negara, mereka ini akan menguruskan proses kelulusan dan sebagainya.

“Jadi tugas mereka (sekretariat) ini adalah menerima pelbagai jenis permohonan pelabur, termasuklah memudahkan urusan setiap permohonan tersebut.

“Apabila pelabur masuk sudah tentu kita akan memberi banyak peluang dan ruang pekerjaan kepada anak-anak muda Melaka di syarikat bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelantikan Sekretariat MIB di Bilik Maharani Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin.

Antara agensi dan jabatan terlibat ialah empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka, Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Jelas beliau, MIB merupakan satu proses baharu yang pantas atau ‘fast lane’ bagi pemajuan kategori industri melibatkan pengeluaran permit pembinaan bermula dari proses permohonan pelan pemajuan, kelulusan pembinaan, pengeluaran Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) sehingga ke lesen operasi.

“Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjadi perintis kepada MIB. Kerajaan Negeri telah mula menerima permohonan daripada pelabur luar. Kita percaya kelewatan proses di peringkat pra-projek ini sebenarnya banyak kepada menunggu jawapan antara jabatan, ada pertindihan keputusan, jadi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelabur.

“Insya-Allah perkara ini dapat dielakkan sebab kita tahu masing-masing 29 agensi dan jabatan ini mempunyai kepentingan yang perlu dijaga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1044
Kongsi :
Previous post Remaja maut dalam perjalanan ke rumah nenek
Next post Mekanik edar dadah syabu hampir 200 kilogram dijatuhi hukuman mati
Ubah saiz-+=