Semai semangat cinta negara melalui kibaran Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH, 17 Ogos – Seramai kira-kira 100 warga Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) Negeri Melaka telah terlibat dalam Kempen Kibaran Jalur Gemilang peringkat jabatan yang diadakan di Ruang Legar JPN Negeri Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini pagi tadi.

Majlis yang diadakan serba ringkas namun meriah itu turut disertai oleh pelanggan bersama-sama tujuh agensi lain di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Angkatan Pertahanan Awam, Bahagian Kawalan dan Penguatkuasaan serta RELA.

Menurut Pengarah JPN Negeri Melaka, Norazle Sulaiman, kempen berkenaan diadakan bertujuan untuk bersama-sama meraikan bulan kemerdekaan di samping menyemai rasa cintakan negara di kalangan penjawat awam dan orang awam.

“Sebagai salah satu agensi yang menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara, kita mahu memperkasakan semangat cintakan negara di kalangan penjawat awam, khususnya pekerja jabatan, kompleks dan orang awam sendiri mengenai pentingnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara demi ‘survival’ kemerdekaan.

“Alhamdulillah, sebagai agensi yang menjaga rekod penduduk yang seperti mana kita tahu sangat penting untuk keselamatan dan pembangunan negara, kita rasa kita antara yang perlu ke depan untuk melahirkan rasa cintakan negara melalui kempen ini,” katanya.

Tambahnya lagi, melalui kempen yang diadakan bermula jam 8 pagi itu, semua yang terlibat telah menyanyikan lagu-lagu patriotik bersama kibaran Jalur Gemilang dan pada masa sama turut menyelitkan elemen Rukun Negara yang telah dilancarkan sebelum ini.

Views:

244
Kongsi :
Previous post Speaker DUN rasmi Program Ramah Mesra Pelajar Baharu KUIM
Next post JPN Melaka perkasa program turun padang bantu rakyat
Ubah saiz-+=