Semarakkan seni Dondang Sayang buat generasi muda

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 26 Sept. – Seni bernyanyi sambil berbalas pantun dan diselitkan dengan lirik nasihat antara ciri unik Dondang Sayang yang wajar diterapkan kepada generasi muda kini.

Juara Pertandingan Dondang Sayang Anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kategori Remaja, Muhammad Suffian Khirham, 20, berkata jiwa dan minat kepada nyanyian lagu-lagu asli sudah sebati dalam dirinya sejak kecil.

Malah, bakat yang dicungkil oleh gurunya sewaktu di bangku sekolah itu menjadi batu loncatan untuk dia berjaya hingga ke tahap ini.

“Pertandingan pertama saya sertai adalah Dondang Sayang ketika itu…Punyalah minat, kadang-kadang sebelum tidur pun berdondang sayang, berpantun.

“Orang kata ‘gila’ tapi sebenarnya ia sudah sebati dalam hati saya.

“Minat itu perlu diteruskan dengan usaha yang gigih, niat untuk lestarikan khazanah negara dalam kalangan orang muda,”ujarnya kepada MHI.

MUHAMMAD Syafiq Aiman memegang trofi kemenangan.

Sementara itu, Muhammad Amirul Hafiz Rosli,30, guru kepada Juara Kategori Kanak-kanak, Muhammad Syafiq Aiman Mohd Arif berkata, dia melihat perlu adanya dorongan ibu bapa dan guru terhadap generarasi kini di peringkat sekolah.

“Dari darjah 4 saya nampak bakat dia, saya latih dan sering berpesan pada Syafiq, warisan ini jangan dibiarkan, dilupakan.

“Sebagai yang muda kita kena teruskan warisan yang berharga ini.

“Masa dapat tahu ada pertandingan ini, Saya minta izin pada mak Syafiq dan bersetuju.

“Usaha dia berlatih dan tidak malu bertanya antara yang membuat dia menjadi juara selain keinginan serta minat yang tinggi terhadap Dondang Sayang,” katanya.

HIDAYU Murni (kanan) ketika beraksi di pentas akhir pertandingan Dondang Sayang yang membawanya menjadi juara bagi Kategori Dewasa.

Sementara itu, bagi Hidayu Murni Abu Hussain,36, juara Kategori Dewasa memberitahu, selain mewarisi bakat arwah ibunya di dalam seni Dondang Sayang, dia amat berbangga apabila SPRM memilih seni itu sebagai medium bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat.

“Saya memang meninati Dondang Sayang sejak kecil dan arwah ibu saya turut meminati seni warisan itu.

“Jadi bila SPRM memilih Dondang Sayang sebagai satu medium untuk menyebarkan tentang kempen anti rasuah, saya kira pendekatan itu menarik.

“…kerana ia disampaikan dalam bentuk pantun dan dimelodikan dalam Dondang Sayang,” katanya yang juga Pensyarah Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.

Sementara itu, seramai 19 daripada 40 peserta bagi kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Pertandingan Dondang Sayang sejak 12 Julai lalu secara hybrid.

Keseluruhan hadiah bagi kesemua kategori bernilai lebih RM10,000 dan peserta dinilai berdasarkan sesi balas pantun secara spontan mengikut tema yang ditetapkan iaitu ‘Anti-Rasuah’, kemahiran lenggok serta kriteria lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

994
Kongsi :
Previous post SPRM guna Dondang Sayang sebar mesej berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan integriti
Next post ‘Mual, gelabah, nak muntah tunggu suntikan vaksin’ – Remaja
Ubah saiz-+=