Seminar Belia Aspirasi Negara: Peranan belia Melaka dimantapkan

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

TABOH NANING 23 September – Kerajaan Negeri Melaka komited untuk memperkasa peranan belia di negeri ini menerusi seminar dan pelbagai program-program khusus untuk anak muda.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, aspirasi dan pandangan belia sangat penting untuk negeri ini memandangkan merekalah yang bakal merangka hala tuju masa hadapan negeri dan negara ini.

Katanya, penganjuran Seminar Belia Aspirasi Negara yang dianjurkan Institut Tun Perak (ITP), Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia dengan kerjasama Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menjadi antara bukti pandangan serta idea golongan muda ini tidak dipinggirkan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong segala agenda pembangunan belia, selain bersedia mendengar pendapat dan cadangan yang dilontarkan anak muda di negeri ini.

“Saya percaya, golongan belia mempunyai pandangan yang jauh lebih terkehadapan dalam pelbagai aspek, dan segala pandangan ini harus diraikan agar kerajaan mempunyai maklum balas daripada semua pihak di dalam merangka sesuatu dasar untuk kemajuan negeri ini.

“Apabila tiba waktunya, generasi inilah yang akan mengambil alih tugas dan peranan yang sedang kita galas sekarang. Sejauh mana mereka mampu menggalas amanah dan tanggungjawab, jawapannya bergantung kepada sejauh mana keupayaan kita mendidik dan membentuk mereka pada hari ini,” katanya.

gambar 4
Barisan Moderator dan panel seminar Belia Aspirasi Negara.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Seminar Belia Aspirasi Negara di Auditorium Datuk Dr Faridah UCAM, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif ITP Profesor Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee; Ketua Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia, Jabatan Ketua Menteri Sha’ari Samsudin; Ketua Pegawai Eksekutif UCAM Faizatul Akmar Hisan dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Datuk Mustapa Musa.

Seminar itu disertai 532 pelajar tingkatan 6 dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Daerah Alor Gajah.

Gambar 5
Antara pelajar yang bertanyakan soalan kepada panel seminar.

Mengulas lanjut, Sulaiman memaklumkan, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai fasiliti serta kemudahan untuk belia melakukan aktiviti di negeri ini antaranya Kompleks Rakan Muda Alor Gajah.

Selain itu, terdapat 11 agenda pembangunan belia yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri semasa pembentangan belanjawan negeri yang lalu, termasuklah peruntukan RM500,000 bagi Program Belia Progresif yang merangkumi latihan kemahiran tambahan untuk peluang pekerjaan.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan dana perniagaan yang bertujuan membantu 200 orang graduan anak Melaka bernilai RM400,000 melalui program Gradprenuer@State yang diselaraskan oleh Institut Tun Perak (ITP). Justeru, jika ada yang berminat, bolehlah berhubung dengan ITP untuk mendapat maklumat lebih lanjut mengenai program ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2272
Kongsi :
Previous post Ahmad Zahid lepas, bebas
Next post Kadar inflasi negara meningkat 3.1 peratus Januari-Ogos 2022
Ubah saiz-+=