Semua masjid digesa berdaftar sebagai koperasi – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 5 Julai – Kerajaan Melaka menggalakkan semua masjid kariah di negeri ini berdaftar sebagai koperasi bagi memakmurkan lagi aktiviti masyarakat setempat.

EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata daripada 185, setakat ini 57 masjid sudah berdaftar dengan koperasi.

“Kita menyahut cadangan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, supaya Melaka mewujudkan lebih banyak koperasi membabitkan masjid di Melaka.

“Ada 185 masjid dan kita akan bergerak untuk menubuhkan koperasi dengan sokongan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

“Hari ini kita berjaya mendaftarkan 24 lagi masjid sebagai koperasi baharu, semua koperasi berdaftar ini digerakkan untuk memajukan dan memakmurkan masyarakat melalui kaedah koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas merasmikan Program Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Melaka 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron; Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pengarah SKM Melaka, Mohd Firdaus Shaari.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menggesa semua ahli kariah masjid di negeri ini mengambil peluang menyertai koperasi masjid.

“Saya menggesa semua ahli kariah masjid dalam Melaka supaya mengambil peluang ini kerana bukan sahaja dapat memakmurkan masjid tetapi mengharmonikan hubungan masyarakat di kampung.

“Ini untuk membantu dan membimbing masyarakat agar kenal bagaimana peranan koperasi ini boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1128
Kongsi :
Previous post Suspek bingung lepas tikam ibu
Next post Tikam lepas dengar ‘bisikan’ ibu sembah berhala
Ubah saiz-+=