Tikam lepas dengar ‘bisikan’ ibu sembah berhala

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TANGGA BATU 5 Julai – Seorang anak yang tergamak menikam ibu kandung sehingga mati di Kampung Paya Luboh, di sini, pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, ketika ditahan suspek berusia 38 tahun mengaku menikam leher kiri dan kanan ibunya menggunakan sebilah pisau berukuran 26 sentimeter (cm).

Beliau berkata, suspek mendakwa bertindak sedemikian selepas terdengar bisikan yang menyuruhnya menikam mangsa kerana ibunya dikatakan menyembah berhala.

“Atas sebab itu, suspek dikatakan masuk ke bilik ibunya yang baru sahaja selesai mandi sebelum menikam leher kiri dan kanan mangsa menggunakan pisau memotong sayur.

“Suspek kemudiannya dikatakan telah menyerahkan pisau itu kepada ibunya, sebelum ibunya bertindak membuang pisau itu melalui tingkap di biliknya,” katanya kepada pemberita di perkarangan rumah mangsa.

POLIS menjalankan siasatan kes bunuh di Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka. Foto: MR. AZLI

Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa Rozizah Md Dom, 63, meninggal dunia akibat dua tikaman di leher.

Kejadian itu disedari anak perempuan mangsa berusia 30-an yang kemudian bertindak menjerit meminta pertolongan kepada jiran-jiran berhampiran.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, ketika ditahan suspek yang mempunyai dua rekod berkaitan dadah hanya diam dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Katanya, pihak polis akan menjalankan ujian saringan air kencing bagi mengetahui suspek berada dibawah pengaruh dadah atau sebaliknya ketika kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok bagi tujuan mendapatkan permohonan reman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1825
Kongsi :
Previous post Semua masjid digesa berdaftar sebagai koperasi – EXCO
Next post Polis cari ahli keluarga atau waris wanita warga emas
Ubah saiz-+=