Senyuman Ramadan buat warga Tanjung Bidara, Masjid Tanah

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 19 Mac – Ramadan tahun ini mengukir senyuman buat 400 warga kurang bernasib baik di Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara dan Parlimen Masjid Tanah apabila menerima jemputan istimewa Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ia apabila kesemua mereka diraikan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Peringkat DUN Tanjung Bidara dan Parlimen Masjid Tanah di Masjid Nur Jannatul Bahri, Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, hari ini.

Ketua Menteri berkata, aspek kebajikan merupakan sesuatu yang dekat di hatinya lebih-lebih lagi tatkala tibanya Ramadan iaitu bulan seribu rahmat.

Menurut beliau, majlis yang diadakan itu merupakan salah satu program kebajikan yang diadakan saban tahun yang mana bagi DUN Tanjung Bidara dan Parlimen Masjid Tanah, ia membabitkan peruntukan berjumlah RM40,000 berserta kit makanan kepada 400 penerima.

“Dalam menjalani ibadah puasa yang serba cukup dan sempurna, jangan sesekali kita lupakan kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam mengharungi kehidupan.

“Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk sama-sama memupuk rasa empati dan tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan masyarakat sejagat.

“Saya dan seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan rakyat di negeri ini seiring dengan kepelbagaian bangsa, keturunan mahupun agama selaras dengan konsep Islam iaitu Rahmatan Lil Alamin, iaitu Islam rahmat buat sekalian alam di mana usaha bagi mewujudkan masyarakat yang berbilang kaum dan agama lebih harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua Menteri Ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah serta ketua-ketua jabatan.

Menurut Ab Rauf, program bersifat mensejahterakan rakyat seumpamanya diharap dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang agar lebih ramai penerima memperoleh manfaatnya.

“Semoga dengan kehadiran dan interaksi seumpama ini sedikit sebanyak hasrat kerajaan dalam menyampaikan amanah kepada rakyat telah dilaksanakan selain pembangunan agama Islam dapat dikongsi secara terus dan tulus di semua peringkat masyarakat,” katanya.

Dalam pada pada itu, beliau turut menyeru umat Islam di Negeri Ini agar terus meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT sepanjang Ramadan.

“Sesungguhnya, ‘Roh Ramadan’ ini mendidik kita untuk sama-sama menyempurnakan keimanan dan meningkatkan ketaqwaan,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post 20 anak Melaka ke Mekah melalui jalan darat
Next post ‘Ab Rauf selalu ingat rakyat’
Ubah saiz-+=