Seorang lelaki ditahan, rampas dadah nilai hampir RM1 juta

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

IPOH, 20 Julai – Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 9.7 kilogram (kg) bernilai hampir RM1 juta dalam satu serbuan Isnin lepas di Changkat Kruing, Pantai Remis dekat Manjung.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki yang tidak bekerja berusia 56 tahun itu ditahan di sebuah rumah pada 10 malam dan pihaknya menemukan satu paket plastik disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine.

“Pemeriksaan di dalam sebuah kereta dan luar kawasan rumah tersebut turut menemukan beberapa lagi paket plastik mengandungi dadah dipercayai methamphetamine,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah motosikal bernilai RM3,500 dan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM973,598.

Mior Faridalathrash berkata suspek didapati positif dadah jenis morfin hasil saringan air kencing serta mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

“Jumlah dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 100,000 penagih yang dipercayai diedarkan di sekitar Manjung dan kawasan berhampiran.

“Suspek yang aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

609
Kongsi :
Previous post 1,000 murid bergelar ‘hajah’ dan ‘haji’ cilik
Next post Gara-gara bersalam tidak pandang muka, lelaki tampar jemaah masjid
Ubah saiz-+=