Sesak di PPV Dewan Tun Ali kerana ‘pengiring’ lebih ramai daripada penerima vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BUKIT KATIL 3 Jun – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali agak sesak berikutan orang ramai membanjiri dewan berkenaan tengah hari tadi bagi mendapatkan suntikan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di pusat berkenaan mendapati orang ramai terutama warga emas menanti di luar pintu pagar bagi menunggu giliran waktu janji temu ditetapkan.

Penerima vaksin wanita warga emas yang namanya enggan dikenali berkata, dia hadir ke dewan berkenaan ditemani anak lelakinya bagi menerima vaksin dos pertama mengikut jadual janji temu jam 12 tengah hari.

KEHADIRAN ‘pengiring’ yang menghantar penerima vaksin punca PPV Dewan Tun Ali sesak.

Bagaimanapun katanya, dia terpaksa pulang kerana menunggu hampir satu jam dan kembali semula kira-kira jam 3 petang bagi menerima vaksin berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kesesakan itu berpunca daripada individu yang mendapatkan suntikan pertama dan kedua bagi PICK berjalan serentak hari ini.

“Ketika ini pemberian dos satu dan dua berjalan serentak lebih kurang 800 (suntikan) sehari.

“Berkaitan kesesakan yang berlaku hari ini, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) maklumkan kesesakan itu disebabkan ramai pengiring yang menemani ibu bapa masing-masing yang menerima suntikan vaksin fasa kedua, dengan anggaran 400 hingga 600 penerima sehari.

“Kesesakan itu juga disebabkan oleh penerima vaksin tidak mengikut masa ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera dan kebanyakan mereka datang awal daripada masa ditetapkan,” katanya dihubungi di sini.

Tinjauan pada jam 3 petang tadi mendapati orang ramai yang menunggu di pintu pagar dewan berkenaan semakin berkurangan.

Rahmad bagaimanapun berkata, tiada kesesakan berlaku di dalam dewan berkenaan dan pihaknya akan memastikan orang ramai tidak berkumpul di khemah hadapan dewan terbabit bagi mengurangkan kesesakan.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan usahakan untuk menambah bilangan khemah,” katanya.

PENERIMA vaksin dan pengiring masing-masing memasuki pekarangan Dewan Tun Ali selepas janji temu jam 3 petang dibenarkan masuk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1660
Kongsi :
Previous post 662 pesakit sedang menerima rawatan di PKRC MITC
Next post Cadang Melaka jadikan klinik, PKD medium perluas vaksinasi- Mohd Redzuan
Ubah saiz-+=