Cadang Melaka jadikan klinik, PKD medium perluas vaksinasi- Mohd Redzuan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Kerajaan negeri Melaka perlu mengetengahkan inisiatif baharu dalam usaha memperluas serta mempercepatkan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat bagi membendung penularan wabak itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kerajaan negeri perlu menghantar usul yang perlu diketengahkan ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak sewajarnya untuk mewujudkan satu inisiatif menjadikan klinik-klinik kerajaan, swasta dan Pejabat Kesihatan Daerah sebagai pusat pemberian vaksin di negeri ini.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan bagi mencapai tahap imuniti kelompok serta mengurangkan kebergantungan terhadap Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang saban hari mencatatkan jumlah pesakit yang membimbangkan.

“Kita cadangkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali agar membuat permohonan kepada MKN dan pihak sewajarnya supaya kita boleh memberi bekalan vaksin ini kepada semua klinik di negeri Melaka yang sekali gus memudahkan orang ramai terutama warga emas untuk menerima suntikan vaksin.

“Bayangkan jika hari ini kita boleh menjalankan kerja-kerja mobilisasi di 200 klinik dan di PKD, ia secara tidak langsung mampu memperluaskan usaha pengagihan vaksin ini.

“Saya yakin Melaka mampu capai imuniti kelompok dengan lebih cepat kerana ramai rakyatnya telah menerima vaksin dan boleh menjalankan pelbagai aktiviti harian,” katanya selepas menyertai wawancara secara langsung bersama petugas barisan hadapan menerusi aplikasi Google Meet di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Ia turut disertai, Timbalannya, Datuk Mastura Mohd Yazid; Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Leftenan. Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra.

Sementara itu, Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah memuji usaha kerajaan negeri Melaka mewujudkan makmal saringan COVID-19 menerusi Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM).

Katanya, usaha itu setidak-tidaknya dapat membantu dalam mengesan penularan wabak tersebut dalam komuniti setempat, sekali gus membolehkan usaha pemantauan terhadap kluster-kluster baharu di negeri ini.

“Dengan wujudnya makmal baharu di PBM ia satu kemudahan kepada orang ramai dan dibuka kepada siapa sahaja untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dalam membantu mempercepatkan usaha mengawal penularan COVID-19 dan ia perlu diperluaskan bagi memberi kemudahan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post Sesak di PPV Dewan Tun Ali kerana ‘pengiring’ lebih ramai daripada penerima vaksin
Next post Agong ucap tahniah kepada dua kadet bakal sertai Akademi Tentera AS
Ubah saiz-+=