Sesi Dewan Rakyat ditangguh seketika susulan kenyataan Istana Negara

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR 29 Julai – Persidangan hari keempat Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini ditangguh seketika kira-kira 12.30 tengah hari ini susulan kenyataan Istana Negara berhubung Proklamasi Darurat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu membuat peraturan mengikut Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 12(2) bagi menangguhkan mesyuarat selama 15 minit sebelum kembali ke dalam dewan dan menempohkan sesi mesyuarat sehingga 1 tengah hari.

“Saya membuat keputusan menempohkan mesyuarat ini sehingga jam 1 tengah hari dan mesyuarat akan bersambung pada 2.30 petang,” katanya.

Terdahulu, sesi dewan kecoh apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) bangun menarik perhatian Ahli Dewan Rakyat mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dimuat naik di Facebook rasmi Istana Negara.

ANWAR.

Dalam kenyatan Istana Negara itu, Seri Paduka menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda.

Seri Paduka menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada Isnin telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Al Sultan Abdullah turut menegaskan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kenyataan dari Istana Negara itu dengan jelas menyebut bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar prinsip Perlembagaan dan tidak menghormati institusi diraja.

Turut bangkit Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang mempersoalkan kenapa isu itu sebelum ini tidak dibenarkan untuk dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membuat pengumuman mengenainya sedangkan ia satu isu yang sangat serius.

Dewan yang terus ‘panas’ dengan asakan daripada Ahli Parlimen yang mahu respons kepada kenyataan Istana Negara itu kemudian dicadang Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) kepada Mohd Rashid untuk ditangguhkan dahulu.

“Ini soal serius, selalunya perkara kontroversi seperti ini, biar dewan tangguh dahulu, itu keputusan terbaik,” cadangnya yang turut disokong beberapa Ahli Parlimen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post Semua van jenazah kerajaan diarah bantu Hospital Melaka
Next post Tempat duduk Tengku Razaleigh di Dewan Rakyat di ubah ke Blok Bebas
Ubah saiz-+=