Semua van jenazah kerajaan diarah bantu Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ASAHAN 29 Julai – Van jenazah milik pelbagai agensi kerajaan akan digerakkan bagi membantu keperluan Hospital Melaka (HM) menangani kes kematian pesakit akibat COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, ia susulan van jenazah hospital berkenaan tidak mencukupi untuk menampung kes kematian yang kian meningkat setiap hari.

Akibat masalah itu, katanya jenazah atau mayat mangsa COVID-19 terpaksa disimpan di bilik mayat hospital berkenaan sekali gus mengakibatkan kepadatan di tempat itu.

“Kita putuskan supaya mana-mana agensi kerajaan yang ada van jenazah dipusatkan di HM supaya apabila kematian akibat COVID-19 membabitkan orang Islam, proses pengebumian dipercepatkan.

“Pasukan polis mempunyai van jenazah dan agensi itu sudah bersetuju malah ATM (Angkatan Tentera Malaysia) serta APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) juga sudah bersetuju untuk membantu.

“Kita juga memohon Jabatan Agama Islam (JAIM) untuk mengenal pasti van jenazah yang ditempakan di masjid atau surau berhampiran HM, supaya digazetkan sebagai ‘back-up’ kepada hospital berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas berkenaan di bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Asahan di Nyalas, dekat sini Selasa lalu.

Abdul Ghafar yang juga EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri berkata, bagi masyarakat bukan Islam, pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan memberi kebenaran melanjutkan tempoh masa pengebumian hingga waktu malam.

“Sebelum ini, ada antara masyarakat bukan Islam yang mengebumikan mayat seperti proses membakar mayat diberi tempoh hingga jam 4.30 petang.

“Jadi, kita minta PBT lanjutkan tempoh pembakaran sampai malam kerana mahu mengelakkan kepadatan mayat di HM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

368
Kongsi :
Previous post MBMB bantu 1,000 keluarga terkesan PKP
Next post Sesi Dewan Rakyat ditangguh seketika susulan kenyataan Istana Negara
Ubah saiz-+=