Sesi Guan Eng, Mat Sabu menghadap Agong ditangguh

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Sesi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohammad Sabu menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  di Istana Negara yang masing-masing dijadual pada hari ini dan Rabu depan, ditangguhkan.

Dalam kenyataan kedua-dua pemimpin itu hari ini, mereka memberitahu mendapat makluman penangguhan tersebut daripada  Setiausaha Sulit Kanan baginda semalam.

“Kami menjunjung titah dan mendoakan agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara untuk membentuk kerajaan selepas mendakwa mendapat sokongan majoriti lebih 120 Ahli Parlimen.

Istana Negara dalam kenyataan kemudian menyatakan Anwar hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan terhadapnya untuk membentuk kerajaan tanpa mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Istana Negara juga menyatakan Yang di-Pertuan Agong menitahkan Istana Negara melaksanakan sekatan pergerakan separa susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PKPB dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor mulai hari ini sehingga 27 Okt dalam usaha membendung peningkatan kes COVID-19.

— BERNAMA

Views:

368
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021 medium perkasa koperasi dalam kitaran ekonomi
Next post COVID-19: Lebih 50 jangkitan babitkan pesakit di hospital di Busan, Korea Selatan dilaporkan
Ubah saiz-+=