Showcase SDSI promosi produk 145 usahawan seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat
AYER KEROH 25 September – Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) MADANI Peringkat Kebangsaan dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dari 6 hingga 8 Oktober ini dijangka mampu menarik sehingga 35,000 orang pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif MITC Sdn. Bhd. Datuk Ariff Shah Abdullah Sani berkata, program selama tiga hari itu menampilkan 145 usahawan seluruh negara termasuk dari Negeri Melaka bagi mempromosikan pelbagai produk masing-masing.
“Penganjuran ini adalah platform bagi meningkatkan keupayaan usahawan-usahawan mikro ke peringkat yang lebih tinggi, selain menguar-uarkan produk dihasilkan di setiap negeri di Malaysia.
“Setakat ini 14 negeri mengesahkan akan mengambil bahagian, selain makanan pelbagai etnik ditawarkan di 45 gerai, SDSI kali ini turut membawa pelbagai produk baharu yang belum diperkenalkan di pasaran.
“Antara produk itu adalah kuih bakar Melaka, periuk tanah (Perak), sarang burung (Sabah), gula apong (Sarawak), madu kelulut dan sambal hitam membabitkan usahawan dari Pahang,” katanya ketika ditemui di Bangunan MITC, di sini, hari ini.
Showcase anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu dijadualkan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Selain itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick turut dijangka hadir.
Ariff Shah berkata, pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang tiga hari program berlangsung seperti padanan perniagaan, jualan produk usahawan, malam gema irama, ceramah keagamaan dan pameran 22 kenderaan mewah (Ferrari).
“KUSKOP sentiasa meneroka peluang untuk membangunakan usahawan di negara ini, tidak hanya fokus kepada makanan sebaliknya produk lain.
“Dengan adanya showcase ini pembeli, ejen pemasaran, stokis dan lain-lain dapat mewujudkan jaringan perniagaan, sekali gus mengembangkan lagi pasaran produk mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1665
Kongsi :
Previous post Kurang amal gaya hidup sihat, berisiko diserang penyakit jantung
Next post Abang tiri ditahan bantu siasatan kanak-kanak perempuan lemas ketika mandi kolam
Ubah saiz-+=