Siapa buang sisa simen dalam longkang?

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 11 Januari – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa simen dalam longkang di jalan utama Taman Bukit Katil Damai, di sini, mengundang rasa kurang senang penduduk sekitar.

Ia berikutan, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, bahkan mengakibatkan kerugian apabila longkang itu terpaksa diselenggara semula oleh pihak berwajib.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk sekitar semalam dan berharap tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Semalam saya terima aduan ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa simen dalam longkang ini, setelah membuat lawatan saya dapati ia sudah lebih empat hari dibuang di sini.

“Dan saya juga membuat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) dan saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak Japerun Ayer Keroh.

“Saya harap tindakan akan dikenakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab ini, kita terpaksa pecahkan longkang dan akan mengakibatkan kerugian,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Chee Yee turut meminta mana-mana penduduk yang mempunyai maklumat tentang pelaku tersebut agar segera memaklumkan perkara itu bagi tindakan selanjutnya.

“Saya mohon kepada mana-mana penduduk melalui kawasan ini mempunyai maklumat tentang pelaku boleh segera maklumkan saya.

“Dan kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membawa orang tidak bertanggungjawab ini ke muka pengadilan.

“Kita khuatir jika perkara ini dibiarkan akan mengakibatkan longkang ini tersumbat dan air yang sepatutnya mengalir sewaktu hujan lebat akan melimpah ke jalan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1944
Kongsi :
Previous post ‘Tok Ajak’ bentang pencapaian setahun Telok Mas
Next post Rumah retak resahkan penduduk
Ubah saiz-+=