Rumah retak resahkan penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TENGKERA 11 Januari – Kira-kira 300 penduduk di Kampung Tengkera Pantai I dan Kampung Tengkera Pantai II, di sini, hidup dalam ketakutan apabila kediaman yang mereka diami rosak dan mengalami keretakan.

Penduduk mendakwa, masalah itu bermula sejak tahun 2019 dipercayai berpunca daripada sebuah projek pembinaan pangsapuri berhampiran.

Seorang penduduk, Mansor Ayed, 65, mendakwa akibat projek itu, dinding rumah dua tingkat miliknya mengalami keretakan teruk, selain terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000.

Dakwanya, berbanding penduduk lain, kediamannya mengalami kerosakan yang teruk dan dia sekeluarga turut berdepan detik cemas apabila kayu daripada projek itu jatuh menghempap bumbung rumahnya.

“Selain dinding dan lantai yang retak, longkang bahagian luar rumah turut mengalami kerosakan yang teruk. Memang rasa tidak selamat.

“Malah kami turut dikejutkan dengan kayu daripada tapak pembinaan itu tiba-tiba jatuh dan menghempap bumbung rumah, mujurlah tiada sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan, namun masalah itu masih belum berkesudahan.

Malah, katanya, pemaju juga pernah datang berjumpa dan bercadang memberi pampasan kira-kira RM90,000 namun ia disifatkan tidak berbaloi dengan kerosakan yang saya kira mencecah RM230,000.

“Selain kerugian akibat kerosakan pada bahagian rumah, kehidupan harian saya turut terganggu dengan bunyi bising sehingga lewat malam,” katanya.

Seorang lagi penduduk Zabariah Baba, 60, turut meluahkan kebimbangan sama apabila rumahnya turut mengalami nasib sama apabila bumbung rumahnya bocor serta berlaku pergerakan tanah yang disyaki turut berpunca daripada projek terbabit.

“Siling di bahagian hadapan rumah beberapa kali terjatuh dan mengakibatkan bumbung bocor. Malah saya dan keluarga pernah mengalami batuk yang berpanjangan akibat daripada debu.

“Apa yang saya harapkan akan ada tindakan segera daripada pihak yang terbabit kerana ia membabitkan soal keselamatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1797
Kongsi :
Previous post Siapa buang sisa simen dalam longkang?
Next post 2022 tahun cemerlang SK Tun Syed Ahmad Shahabudin
Ubah saiz-+=