Siapa kata Orang Asli tolak vaksin?

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TABOH NANING 30 Jun – Di sebalik pelbagai cerita negatif vaksin COVID-19, masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Bukit Payong dekat sini, nyata tidak takut jarum suntikan malah tetap mahu divaksinasi.

Tok Batinnya, Nur Isjemei Ismail, 36, berkata majoriti penduduk seramai 530 orang di kampung itu tidak bimbang divaksin kerana pernah menerima suntikan bagi penyakit lain di klinik atau hospital.

Begitupun katanya, pelbagai cerita negatif mengenai vaksin COVID-19 diakui sedikit sebanyak meninggalkan kesan negatif dalam minda Orang Asli dan ini terbukti apabila hanya 160 saja tampil untuk menerima vaksin melalui pendaftaran secara manual.

NUR ISJEMEI.

“Antara cerita negatif vaksin, kononnya ada penerima vaksin, terutama warga emas meninggal dunia atau mengalami masalah kesihatan selepas menerima vaksin.

“(Namun) Saya dan pemimpin lain di kampung ini akan terus berusaha mendaftar mereka untuk menerima vaksin yang kami cadang diadakan pada 6 Julai depan,” katanya.

Nur Isjemei dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) itu, Irwan Abdullah, 44, ditemui ketika menerima kunjungan Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, Norihan Bahari dan Ketua Sukarelawan Masjid Tanah (SMART), Mejar (B) Abdullah Mahadi di kampung itu,  bagi membincangkan mengenai program vaksinasi anggota komuniti.

Mengulas lanjut, Nur Isjemei berkata, dia yakin dapat memberi kefahaman kepada anggota komuniti tentang manfaat vaksin COVID-19.

“Anggota masyarakat kami sekarang juga seperti masyarakat di luar kampung ini yang berkomunikasi melalui media sosial dan kumpulan WhatsApp dan dari situlah mereka mendengar pelbagai cerita menakutkan mengenai vaksin,” katanya.

Sementara itu, Irwan berkata, cerita negatif itu diyakini mampu diredakan
dengan penjelasan secara bersemuka dengan anggota komuniti, selain penyebaran maklumat yang tepat melalui pelbagai aplikasi.

“Insya-Allah hati mereka akan lembut jika menerima penjelasan secara lembut dan berterusan kerana bukan mudah untuk kita menghapuskan kebimbangan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin program vaksinasi yang bakal dijalankan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah akan mencapai kejayaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

509
Kongsi :
Previous post Peniaga roti dulang lega boleh operasi mulai jam 6 pagi
Next post Kaunter perkhidmatan KWSP dibuka mulai esok
Ubah saiz-+=