Peniaga roti dulang lega boleh operasi mulai jam 6 pagi

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TABOH NANING 30 Jun – Peniaga roti canai dulang di Kampung Cherana Putih, Simpang Ampat, di sini menarik nafas lega kerana dibenarkan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 10 malam, mulai kelmarin.

Ini kerana ia lebih praktikal berbanding waktu operasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam yang dikuatkuasakan melalui sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebelum ini.

Razali Abdul Rahman, 56, berkata kelonggaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu amat melegakannya kerana kebanyakan pelanggan hadir di kedainya mulai jam 6.45 pagi.

RAZALI menghasilkan roti canai dulang besar dengan menggunakan empat doh adunan tepung dan 10 telur.

“Selepas solat Subuh, saya mula menjerang air mulai jam 6 pagi dan membuat pelbagai persiapan untuk membuka kedai mulai jam 6.30 pagi.

“Pelanggan sudah datang mulai jam 6.45 pagi dan alhamdulillah, jumlah kehadiran semakin ramai menjelang jam 8 pagi berbanding keadaan sebelum ini semasa kedai dibuka jam 8 pagi, kebanyakan pelanggan sudah pergi kerja ke pejabat atau kilang pada jam 7 pagi,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Cherana Putih, Simpang Ampat di sini.

Menurutnya, selepas jam 8 pagi, kedainya dikunjungi pelanggan yang kebanyakannya tidak bekerja atau yang bekerja di kebun atau ladang.

“Alhamdulillah, apabila kerajaan membenarkan peniaga makanan dan minuman beroperasi jam 6 pagi, saya mula mendapat semula pelanggan yang keluar kerja awal,” katanya.

RAZALI turut menyediakan roti canai biasa di kedainya.

Razali mengusahakan roti canai biasa dan roti canai dulang, iaitu roti canai sebesar dulang kecil dan dulang besar sejak 11 tahun lalu dengan dibantu isterinya.

Bagi roti canai dulang kecil, dia mengadunkan dua doh adunan tepung dan lima telur yang ditawarkan pada harga RM5 manakala roti canai dulang besar, sebanyak empat doh adunan tepung dan 10 telur diadunkan dan dijual RM12.

Selain itu, dia turut menyediakan murtabak dan lempeng sama ada yang bersaiz biasa atau saiz dulang.

Ahad lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, operasi premis menjual makanan boleh dibuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rayuan pengusaha kedai makan berikutan perolehan yang berkurangan akibat pelaksanaan PKP 3.0.
-ends-

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9045
Kongsi :
Previous post Muhyiddin dimasukkan ke hospital kerana alami diarea
Next post Siapa kata Orang Asli tolak vaksin?
Ubah saiz-+=