Sorting by

×

TEKNOUSAHAWAN: MELAKA SEDIA LAHIR LEBIH RAMAI USAHAWAN TVET

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 21 April – Majlis TVET Negeri Melaka merangka pelbagai inisiatif baharu termasuk menerusi program teknousahawan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, program itu bertujuan membimbing graduan TVET supaya bukan sahaja menjadi pekerja mahir tetapi mampu berkembang sebagai usahawan yang berjaya hingga ke tahap menjadi majikan.

“Teknousahawan ini antara perancangan yang diperincikan oleh Majlis TVET Negeri Melaka untuk dilaksanakan dan untuk program tersebut sejumlah RM1.1 juta peruntukan telah diterima daripada Kerajaan Persekutuan.

“Menerusi pelaksanaan program ini kita sasarkan kira-kira 200 orang peserta akan terlibat dan akan merangkumi tiga siri latihan berbeza selain akan membabitkan pelbagai sektor latihan kemahiran antaranya automotif, bakeri, jahitan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Malam Apresiasi TVET Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta lain-lain kenamaan.

Khaidhirah yang juga Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka berkata, pelaksanaan program itu selaras dengan hasrat Majlis TVET Negeri Melaka untuk memperkukuh ekosistem TVET, bukan hanya dari sudut latihan kemahiran tetapi juga pembangunan keusahawanan.

“Kita mahu memastikan setiap peserta bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal tetapi juga pengetahuan dalam mengurus perniagaan dan membina jenama sendiri sehinggalah mempunyai pekerja sendiri.

“Inisiatif ini juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan TVET serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri melalui penghasilan lebih ramai usahawan tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post ORANG JOHOR MENANG CABUTAN BERTUAH UTAMA MELAKA RIVER CRUISE SUKU PERTAMA 2026
Next post LEBIH MESRA DAN PINTAR, NAIK TARAF ZOO MELAKA SIAP JUN INI