
LELAKI PANDU MELULU RUPANYA BAWA DADAH HAMPIR RM600,000
ALOR GAJAH 21 April – Tindakan seorang lelaki memandu secara melulu mengundang padah apabila diberkas polis bersama dadah jenis ekstasi bernilai hampir RM600,000 dalam satu rondaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Pedas, 15 April lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, penganggur berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang selepas dikesan memandu kereta jenis Proton Saga dalam keadaan mencurigakan.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek membawa kepada penemuan sebanyak 3.944 kilogram dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM591,607.50.
“Selain itu, pihak polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton Saga bernilai kira-kira RM20,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM611,607.50,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sinil, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati suspek aktif melakukan kegiatan tersebut sejak tahun lalu selepas keluar daripada pemulihan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
Tambah beliau, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak tahun 2025 dan bekalan dadah itu disasarkan untuk pasaran tempatan serta mampu dibekalkan kepada lebih 13,000 penagih.
“Hasil siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan dibawa dari Lembah Klang dan dipercayai untuk diedarkan di bahagian selatan.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif. Namun, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau yang telah dijatuhkan hukuman, antaranya di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 6(3) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan) 1985,” katanya.
Menurut Ahmad, suspek direman bermula 16 April lalu sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, suspek dijangka akan dituduh selepas siasatan selesai dan dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


