
WRUR MACHAP JAYA: MPAG SENTIASA DEKAT DI HATI ORANG ALOR GAJAH
MACHAP JAYA 21 April – Pendekatan turun padang Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menterjemahkan tanda keprihatinan dan komitmen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk sentiasa bersama rakyat terutamanya pada ketika mereka memerlukan.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, MPAG sentiasa cakna terhadap golongan memerlukan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan tanpa mengira musim.
Katanya, sebagai contoh menerusi Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026 warga PBT itu turun padang bagi melaksanakan kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrik sudah usang dan bergotong-royong membersihkan kediaman penerima manfaat inisiatif dilaksanakan.
Manurutnya tanggungjawab ini bukan untuk dilihat dari jauh atau sekadar dibahaskan di meja mesyuarat, ia menuntut semua pihak turun sendiri ke lapangan, menyaksikan realiti sebenar, mendengar suara yang jarang didengari, sekali gus benar-benar memahami kehidupan rakyat.
“Tujuan program ini sangat jelas iaitu untuk memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan asnaf dan keluarga yang sedang berdepan kesempitan hidup.
“Kita memilih sebuah rumah untuk dibaik pulih daripada segi penggantian pendawaian elektrik asas serta membersihkan persekitaran rumah supaya lebih selesa dan selamat untuk didiami,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning berkata demikian ketika berucap pada Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026 bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di Kampung Felda Bukit Bulat, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem merangkap Adun Machap Jaya, Ketua Whip Ahli Majlis MPAG Fadzil Abd Rahim serta jemputan lain.
Majlis itu melibatkan kerja penggantian pendawaian elektrik asas kediaman milik Amnah Md Sab, 89, dan turut berlangsung penyerahan sumbangan kepada penerima dari 11 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Machap Jaya.
Zulkiflee berkata, inisiatif itu adalah tanda bahawa golongan kurang mampu tidak pernah dilupakan dan sentiasa dalam perhatian Kerajaan Negeri.
“Namun saya ingin tekankan, usaha seperti ini tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja ia memerlukan kekuatan bersama dan kerjasama antara agensi kerajaan, PBT, pemimpin masyarakat dan seluruh komuniti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


